Mati itu pasti. Tetapi, jika ia berlaku
mendadak atau tanpa tanda-tanda sakit, tentu sekali mengejutkan. Itulah
pengalaman kehilangan seorang kawan sejak bersekolah menengah lebih 35 tahun
dahulu di Sekolah Menengah Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan.
Biarpun tidak selalu berjumpa secara alam
nyata, tetapi selalu mengingatinya terutaman setiap kali lalu di hadapan pejabat
guaman miliknya di Taman Kenangan, Jalan Kadir Adabi.
Dan tentunya, dalam dunia tanpa sempadan, pertemuan
di alam maya kerap terjadi. Bahkan, kurang 12 jam sebelum beliau menghembuskan
nafas terakhir, arwah banyak menghantar nota suara bernada ceria dan penuh gurauan
seperti biasa tanpa menampakkan tanda-tanda arwah akan meninggalkan dunia fana
ini.
Pada 25 Ogos ambo menulis artikel ‘Penat
Masih Tidak Jumpa Jalan’.... setelah siap, ambo mencari gambar untuk digunakan
sebagai ‘cover’ atau gambar hiasan... terlihat gambar ini. Entah tidak tahu
sebab apa... ambo pilih gambar ini. Ketika itu, antara wajar yang ambo rasa ‘dekat’
ialah wajah arwah biarpun kedudukan arwah paling jauh dalam gambar itu. Rupanya
itu tanda beliau akan pergi jauh dari dunia yang fana ini.
Sebab itu, apabila mendengar perkhabaran
berita kematian arwah, ambo terus ke rumahnya pada pukul 10.50 pagi. Ambo pergi
pagi kerana takut tidak sempat untuk pergi sebelah petang yang dijangka jenazah
akan disembahyangkan.
Alhamdulillah.... pukul 3 petang, sempat
ambo sekali lagi berada di rumahnya dan sempat menyembahyangkan jenazah dan kemudian
terus mengiringi jenazah sehingga ke tanah perkuburan dan melihat sebelum
jenazah ditutup dengan keranda dan seterusnya ditimpus dengan pasir sehingga
selesai.
Ketika bersama-sama yang lain menatap wajah
arwah kali terakhir.... terdengar beberapa suara yang menyebut.... ‘putih
bersih’ merujuk kepada wajah arwah. Alhamdulillah....
Ketika berada di tanah perkuburan, mulanya
ambo nak berada di bawah (di dalam kubur) untuk menyambut jenazah dan meletakkan
di liang lahad.... tetapi apabila tengok ada anak arwah, ambo suruh dia yang
turun ke dalam kubur sabagai khidmat terakhir secara fizikal kepada arwah.
Ketika di atas, ambo sempat menunjuk ajar
anak arwah ketika mengendalikan jenazah.... cara meletakkan... kukuhkan
kedudukan, membuka ikatan kain kapan dan beberapa perkara lain. Semoga ia
menjadi pengalaman berharga dan kenangan seumur hidup untuk anak arwah.
Apa yang dilakukan itu ambo rasakan sebagai
khidmat secara fizikal terakhir di atas muka bumi ini untuk arwah. Sebab itu
ambo terus ke kubur selepas sembahyang jenazah di rumah arwah. Mengiringi
perjalanan terakhir sahabat sehingga ke liang lahad.
Jenazah mula diturunkan ke liang lahad pada
pukul 4 petang. Proses mengembumikan selesai ketika azan Asar dikumandangkan di
masjid pondok yang terletak bersebelahan kawasan tanah perkuburan.
Damailah sahabat Zulhilmi Mokhtar di alam persinggahan
sehingga kita bersama-sama di Padang Mahsyar nanti. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan