Jumaat, 25 November 2022

PEJUANG UMNO KALAH DI MEDIA SOSIAL

 
Setiap kali pascaPRU, pemimpin UMNO menukilkan atau merumuskan antara punca kekalahan atau kurang sokongan terhadap BN ialah kurang menguasai media sosial.
 
PRU13 dikatakan BN ketinggalan di FB. Masuk PRU14 kerana tidak menguasai Twitter. Masuk PRU15, tentu sekali dikaitkan gagal di Tiktok. Masa PRU16 nanti akan gagal di Kingkong (agaknya satu aplikasi media sosial baharu) pula.
 
Memang, jika diteliti di kalangan pemimpin UMNO/BN amat jarang yang ligat di media sosial. Tidak banyak pengikut. Tidak kemas kini status. Ketua Penerangan di pelbagai peringkat pun sendu di media sosial.
 
Apabila dipilih menjadi calon, baharu hendak buat akaun media sosial. Dapatlah beberapa ratus atau ribu sahabat atau pengikut. Itupun kebanyakannya di kalangan sahabat dan penyokong sahaja.
 
Sebenarnya, pemimpin dan penyokong UMNO bukan tidak aktif di media sosial. Mereka aktif di WhatsApp. Menyertai banyak kumpulan Whatsapp sehingga tidak sempat dibaca keseluruhannya.
 
Mereka bukan tidak pandai menulis atau mengarang untuk menyatakan pendapat. Hebat berhujah sehingga ada ahli kumpulan mengaku kalah sehingga keluar kumpulan. Merajuk atau tidak mahu terus diserang oleh ahli kumpulan lain.
 
Kalau tidak keluar kumpulan dengan sendiri, akan ada yang dikeluarkan dari kumpulan oleh pentadbir kumpulan. Kononnya tidak mahu pengaruh mereka merosakkan ahli lain. Atau sebagai tanda individu itu tidak layak berada di dalam kumpulan kerana tidak sealiran dengan yang lain.
 
Mereka menjadi jaguh kampung dalam kumpulan WhatsApp. Hebat yang teramat sangat. Sedangkan apa yang dilakukan tidak memberi manfaat secara langsung kepada UMNO. Yang ada itu memang di kalangan pemimpin dan ahli UMNO.
 
Sebaliknya, mungkin disebabkan berhujah sesama sendiri, ada yang semakin menjauhkan dari UMNO. Sepatutnya menambah bilangan ahli dan perkuatkan keyakinan kepada UMNO, tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

2 ulasan:

  1. Pru15......Banyak masa dihabis kn ibarat mcm buat kerja kerja sekolah....Tenaga petugas di PDM banyak belajar buat training itu dan ini ....smcm akdemik pulak , sedang kn kita kita kesuntukan masa........Sedang pihak lawan terus ke lapangan , jelajah setiap rumah2 pengundi......memujuk dsb nya......

    BalasPadam
    Balasan
    1. penat gi mesyuarat sehingga tungas di PDM tidak sempat hendak dilakukan

      Padam