Setiap kali musim Pilihan Raya Umum (PRU),
ambo boleh dikatakan sibuk. Sibuk dan menyibukkan diri dengan aktiviti parti.
Terpaksa sibuk dan kadang-kadang hanya buat-buat sibuk.
Salah satu sebab ambo sibuk ialah kerana
menyampaikan ceramah. Jangan silap faham, ambo bukan penceramah terkenal.
Sekadar dijemput untuk menyampaikan ceramah kelompok yang diadakan di dalam
rumah, dewan kecil dan ada ketikanya hanya di serambi rumah.
Ambo sibuk sebenarnya bukan memenuhi jadual
asal jemputan atau yang telah ditetapkan. Hal menyebabkan ambo sibuk kerana
perlu menggantikan tempat penceramah lain yang tidak dapat hadir disebabkan
kerana ada tugasan lain atau perlu menyampaikan ceramah di tempat yang lebih
banyak pendengarnya.
Disebabkan ambo penceramah tidak terkenal,
cukuplah dihantar ke tempat ceramah kelompok mengambil tugas penceramah
terkenal yang asalnya dijadualkan menyampaikan ceramah berkenaan.
Kalau ikut pengalaman PRU-14, ada hari yang
ambo kena ceramah di lima tempat. Pagi, tengah hari, petang dan malam (malam
dua tempat). Kalau tiga atau dua tempat sehari tu kira biasalah. Amat pelik
jika ambo tidak dijemput menyampaikan ceramah dalam satu hari pada musim PRU.
Pernah satu kali, ketika bersiap hendak
pergi ceramah, ambo menerima panggilan agar pergi ke satu tempat lain untuk
menyampaikan ceramah yang berlainan dengan jadual atau tempat asal. Ambo ok
aje.
Ketika duduk hendak pakai kasut sebelah
kanan, ada penggilan telefon. Ambo jawab yang mana pemanggilnya mengatakan ambo
kena pergi ke tempat lain pula. Ambo ok aje.
Ambo pakai kasut sebelah kanan dan ketika
hendak pakai kasut sebelah kiri, ada panggilan masuk. Ambo jawab. Pemanggil tu
(bukan orang sama) minta ambo datang di tempat dia. Ambo kata, kena gi tempat
lain. Dia kata hok dia lebih penting, dan tempat yang sepatutnya ambo pergi itu
akan dia bincang dengan penganjur untuk digantikan dengan penceramah lain.
Biarpun mendapat ‘jemputan’ di tiga tempat,
hakikatnya pada malam tersebut hanya dapat pergi di satu tempat sahaja.
Sekali lagi ditegaskan.... ambo bukan
penceramah terkenal, tetapi sekadar penceramah kecil yang ditugaskan berceramah
di tempat kecil yang hanya dihadiri sedikit pendengar sahaja.
Dalam sehari dua ini, ambo hanya
disenaraikan untuk menyampaikan ceramah kelompok di satu lokasi sahaja. Namun,
yang terjadi ialah ambo telah menyampaikan ceramah kelompok di empat tempat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan