Dua hari lepas ambo kena menjadi penceramah bidan
terjun. Kisahnya, ambo pergi ke satu tempat untuk mendengar ceramah kelompok.
Waktu lepas Asar. Ambo sampai sudah agak lewat setelah perlu terlebih dahulu
menyelesaikan beberapa urusan.
Sampai di tempat ceramah kelompok yang
diadakan di Lorong Minyak Gas, Kota Bharu, ambo dapat mendengar suara seseorang
sedang memberi ceramah. Rupa-rupanya penceramah itu adalah bukan penceramah
asal yang dijemput. Kiranya dia pun jadi bidan terjun.
Bila dia nampak ambo, terus dia jemput ambo
untuk sampaikan ceramah pula. Kiranya ambo pun jadi bidan terjun juga.
Dengan hanya berbaju T ambo terus sampaikan
ceramah sebagai bidan terjun. Pendengarnya tidak banyak. Alaa... ceramah
kelompok untuk jiran-jiran sahaja. Sempatlah kira-kira tiga puluh minit ambo
berbicara menyampaikan apa yang sempat dan kena berhenti kerana hari sudah
hendak masuk Maghrib.
Itulah kisah ambo jadi bidan terjun.
Maksud pepatah atau peribahasa bidan terjun
adalah seseorang yang diminta mengambil alih sesuatu tugas secara mendadak
tanpa dirancang. Jadi, jika dengar ada orang menjadi bidan terjun bukan
bermaksud bidan itu terjun ke dalam sungai atau terjun dari tempat tinggi.
Bidan ialah orang (biasanya perempuan) yang
mempunyai kemahiran untuk membantu ibu sewaktu melahirkan anak. Bidan kampung adalah
wanita di kampung yang mempunyai kemahiran untuk menolong seseorang ibu
melahirkan anak, sungguhpun tidak terlatih secara khusus tentang ilmu
perbidanan. Manakala bidan kerajaan ialah bidan yang berkhidmat dengan kerajaan
yang terlatih secara khusus tentang ilmu perbidanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan