Ahad, 19 Februari 2023

MAKSUD KAWAN SATU SEKOLAH

  
Kawan satu sekolah sering diungkapkan oleh bekas pelajar di sekolah tertentu. Contohnya ambo ada kawan satu sekolah di Sekolah Kebangsaan Paya Bemban (kini Sekolah Kebangsaan Seri Bemban), kawan sekolah di Sekolah Menengah Putera dan kawan sekolah di Sekolah Menengah Ismail Petra (SMIP).

Kawan adalah sahabat atau teman dalam pergaulan sehari-hari. Kawan juga orang yang bersama-sama melaku­kan sesuatu seperti terlibat dalam kegiatan, pekerjaan, dan lain-lain yang sama.
 
Biarpun tidak disebut bahawa rakan adalah individu yang dikenali, tetapi berdasarkan kepada keadaan yang disebut sudah tentu kawan adalah mereka yang dikenali.
 
Tetapi hakikatnya tidak semua kita kenali. Kawan di sekolah umpamanya “terlalu” banyak. Tidak semua kita kenal semuanya. Kalau kawan sekelas itu boleh dikatakan kita kenal semua. Bagaimanapun kawan kelas sebelah?
 
Itu adalah hakikat sebenar kawan satu sekolah dahulu. Sebab itu, apabila sudah meninggalkan alam sekolah berpuluh-puluh tahun, kita akan kata sudah lupa, sedangkan sebenarnya pada waktu sekolah dahulu pun kita tidak mengenali namanya. Mengakulah.... itu yang sebenarnya berlaku.
 
Pun begitu, apabila sudah tua kita tidak perlu untuk mengatakan bahawa “kamu bukan kawan sekolah saya” atau “aku tidak mengenali kamu pun”.
 
Maka lebih manis kita sebut lupalah.... sifat lupa ada kaitan dengan faktor tua. Dan, kita semua telah tua, satu peringatan untuk kawan-kawan sekolah ambo.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan