Definisi politik adalah (pengetahuan)
berkenaan cara pemerintahan (dasar-dasar pemerintahan dan lain-lain). Ia juga segala
sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain.
Berpolitik pula ditakrifkan sebagai
mengambil bahagian dalam politik, menjalankan (mengamalkan) politik. Mempolitikkan
pula ditakrifkan sebagai memasukkan ke dalam urusan politik, menjadikan sebagai
urusan politik, menjadikan (sesuatu) kelihatan ada kaitannya dengan
politik.
Perkataan politik berasal daripada kata
akar polis dari Bahasa Greek, yang bererti negara, kota, dan
kemajuan. Istilah politik dipopularkan oleh Plato dalam bukunya Politea dan
Aristotle dalam bukunya Politicia. Politik merupakan istilah yang digunakan
untuk membincangkan konsep pengaturan masyarakat.
Dalam bahasa arab, politik juga dikenali
sebagai siasah yang memberi maksud cara mengurus tadbir dan memerintah,
mengurus atau mengatur perkara mengikut syariat Islam.
Politik sepatutnya menyatukan. Namun, mutakhir
ini, umat Islam semakin berpecah disebabkan politik. Justeru, memahami politik matang
semasa adalah satu tanggungjawab yang sewajarnya diambil berat bagi mereka yang
mengaku sayang akan tanah tumpah darahnya.
Pada hari ini kita amat memerlukan sebuah
kefahaman yang sebenarnya bersumberkan kepada rujukan al-Quran dan al-Sunnah
berkenaan dengan politik dalam Islam.
Hasil gambaran dan lakonan mereka yang
berpolitik dengan cara yang tidak beretika dan tidak menurut lunas-lunas syarak
menyebabkan sebahagian pemikir Islam menganggap politik amat kotor dan hina.
Sedangkan hakikat sebenar, politik adalah
kehidupan yang membawa kepada kebaikan. Sebab itu, perlu bagi umat Islam
memahami politik dan menempatkan diri di persadanya jika berkelayakan dan
mempunyai sifat-sifat kepimpinan.
Berpolitik termasuk dalam urusan menegakkan
syariat dan Daulah Islamiyyah sebagaimana Baginda SAW mengasaskan
Negara Islam Madinah.
Sesungguhnya, urusan politik perlu menurut
kaca mata Islam dan kepentingannya kepada sesebuah negara. Dari itu, umat Islam
akan menjadi lebih cakna isu semasa dan berhati-hati dalam memilih
pemimpin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan