Ahli politik disaran supaya mengguna
pendekatan sederhana dan berhemah dalam menjalankan kempen bagi menarik
sokongan pengundi terhadap parti masing-masing.
Pada bila-bila masa, tidak kira ketika
menghadapi pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN), pilihan raya
kecil (PRK) atau untuk apa tujuan sekalipun, ahli politik dinasihatkan supaya
berkempen secara bersopan dengan memelihara adab dan akhlak yang baik, tidak
mencerca, memaki hamun dan memfitnah terhadap mana-mana individu hanya kerana
perbezaan pegangan politik.
Secara khusus bagi ahli politik beragama
Islam diingatkan supaya tidak bersikap ekstrim dan terlalu taasub, tidak
mendoakan kebinasaan ke atas sesama saudara seagama atau senegara walaupun
berbeza agama.
Contohi sikap sifat Rasulullah SAW yang lembut
dalam segala urusan dan ia difahami daripada hadis riwayat al-Bukhari yang
menyatakan bahawa Baginda adalah seorang yang lembut dan penyayang.
Ketika ada sahabat yang meminta Rasulullah
SAW mendoakan kehancuran ke atas kaum musyrikin kerana tidak tahan lagi dengan
penindasan yang dihadapi, Baginda menyahut 'bahawa aku tidak diutus sebagai
seorang pelaknat, tetapi (sebaliknya) adalah sebagai pembawa rahmat' (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim).
Justeru, tidaklah wajar seseorang Muslim
mendoakan keburukan ke atas saudaranya semata-mata kerana perbezaan fahaman
politik dan doa sedemikian hanya harus ditujukan terhadap golongan yang
menzalimi umat Islam sekadar kezaliman yang dilakukan sahaja, namun jika
bersabar itu adalah lebih baik dan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi
Allah SWT.
Umat Islam sepatutnya mendoakan kebaikan
dunia dan akhirat bagi saudara seagama dan untuk kesejahteraan hidup seluruh
manusia.
Hubungan antara sesama umat Islam seperti
yang disebut dalam sebuah hadis adalah ibarat jasad yang satu, setiap
anggotanya ikut merasai apa yang dialami oleh yang lain.
Perbezaan fahaman politik adalah perkara
biasa dan tidak sepatutnya memecah belahkan barisan umat Islam sebagai saudara
seaqidah.
Perbezaan ini adalah tabie, sama dengan
perbezaan bentuk badan, warna kulit dan rupa paras yang mesti diterima seadanya
sebagai ketetapan daripada Allah SWT.
Berpolitiklah secara matang sebagai
masyarakat yang bertamadun dan yang mendokong sistem demokrasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan