Toha belum tahu erti kematian yang
memisahkan dia dengan opah. Toha tahu opah tidak balik rumah kerana berada di
kubur. Sebelum itu, Toha tahu opah selalu tinggal di hospital berhari-hari,
bahkan sehingga berminggu-minggu. Bila diajak ke kubur opah, Toha kata “nak”. Apabila
sampai di tanah perkuburan, Toha akan bergerak sendiri terus menuju ke kubur
opah.
Itu kisah sebelum 16 Mei 2024. Sekarang,
apabila pergi ke kubur opah, Toha juga melihat satu lagi kubur baru di sebelah
kubur opah. Itu kubur Ayah Wa, bapa saudara Toha, abang kepada umi Toha, anak
ke tujuh opah. Beza tempoh opah dengan Ayah Wa meninggal hanya setahun 12 hari. Opah meninggal tanggal 04 Mei 2023.
Biarpun ingatan Toha terhadap Ayah Wa tidak
sekuat ingatan kepada opah, Toha tahu kedua-dua kubur itu adalah individu yang
dekat dengannya. Toha akan mengangkat tangan untuk mendoakan sesuatu kebaikan
untuk kedua-duanya.
Toha ke tanah perkuburan lebih kerap
berbanding ke taman. Toha tidak menolak setiap kali diberitahu hendak ke kubur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan