Jumaat, 24 Januari 2025

ANGPAU SIMBOL TUAH KEPADA SI PENERIMA

 
Sambutan Tahun Baharu Cina sememangnya sinonim dengan pemberian angpau. Di sebalik sampul merah berisi wang itu, ada isi tersirat dan tersurat.
 
Di kalangan masyarakat Cina, angpau adalah simbol tuah kepada si penerima. Tuah itu hadir dalam pelbagai bentuk seperti rezeki yang melimpah-ruah, kesihatan yang baik, silaturahim yang berkekalan, kebahagiaan, perlindungan dan sebagainya.
 
Selain ketika sambutan Tahun Baru Cina, angpau juga diberikan dalam majlis sosial dan keluarga seperti jamuan perkahwinan dan sebagainya.
 
Pemberian angpau juga merupakan satu harapan atau seperti mendoakan yang baik-baik daripada si pemberi kepada si penerima.

Bagi yang belum berkahwin, mereka layak untuk menerima angpau. Pada perayaan Tahun Baru Cina, angpau biasanya diberi oleh yang sudah berkahwin kepada yang belum berkahwin. Sesiapa yang belum berkahwin layak menerimanya tanpa mengira usia.

Sepanjang perayaan Tahun Baru Cina, tarian singa akan dimainkan dari rumah ke rumah untuk memberi berkat serta kesejahteraan kepada keluarga yang dilawati.
 
Ucapan ‘Kong Hee Fatt Choy’ akan diucapkan yang bermaksud “semoga tahun ini akan membawa kebaikan”. Tetamu berkunjung membawa limau mandarin, yang bermaksud kekayaan.
 
Dalam kalendar Cina, terdapat 12 binatang mewakili zodiak setiapnya iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi; haiwan ini sepatutnya mewakili karakter pada tahun satu-satu tahun tersebut dan mereka yang lahir di dalamnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan