Khamis, 29 Oktober 2026

PEGAWAI PEMBAWA PANJI-PANJI

 
Penghormatan menjadi Pegawai Pembawa Panji-Panji.

Tidak semua pegawai tentera berpeluang atau mempunyai pengalaman menjadi Pegawai Pembawa Panji-Panji pasukan, kor atau cabang perkhidmatan.

Pertamanya, tidak semua pasukan ada panji-panji. Jadi, tidak ada istilah perarakan panji-panji di pasukan tersebut.

Keduanya, jika pun ada panji-panji di pasukan berkenaan, kekerapan panji-panji digunakan adalah amat jarang.

Begitu pun, berlainan dengan pasukan atau batalion istiadat seperti Batalon Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD). Memang tugasnya ditumpakan kepada mengarak panji-panji dan kawalan kehormatan utama.

Mana-mana pegawai selain yang berada di batalion istiadat, jika berpeluang menjadi Pegawai Pembawa Panji-Panji, itu dikira satu pengalaman dan penghormatan.

Pegawai pembawa panji-panji diberikan kepada pegawai paling muda dalam pasukan atau yang dipilih di kalangan pegawai muda terdiri leftenan muda, leftenan atau kapten.

Ini melambangkan kepercayaan dan amanah besar yang diletakkan di bahu generasi muda untuk memikul maruah, warisan, dan sejarah keseluruhan pasukan.

Calon pegawai perlu memenuhi kriteria fizikal dan profil istiadat yang ditetapkan. Fizikal yang tegap dan mempunyai ketinggian kira-kira 170 cm.

Pergerakan kawad yang kemas dan mempunyai tahap ketelitian serta tanggungjawab yang tinggi.

Pegawai Pembawa Panji-Panji menjadi tumpuan kerana pemerhatian atau penglihatan tetamu dan orang sekeliling akan terarah ke pada panji-panji.

Pegawai Pembawa Panji-Panji akan berada dalam Kumpulan Panji-Panji yang turut disertai Sarjan Mejar Rejimen (SMR) dan empat orang sarjan.

Turut berada dalam Kumpulan Panji-Panji ialah kopral atau prebet yang bertanggungjawab sebagai Pengawal Panji-Panji yang menjaga panji-panji atau membawa panji-panji ketika masih dalam sarung.

Panji-panji disimpan di bekas khas yang ditempatkan di Balai Pengawal Pasukan yang bermaksud ia dijaga dan kawal selama 24 jam sahari, tujuh hari seminggu, 30 atau 31 hari sebulan dan 365 hari setahun, atau lebih tepat sepanjang masa.

Ketika di luar Balai Pengawal, panji-panj dijaga oleh Pengawal Panji-Panji dan ketika perbarisan kawalan kehormatan utama, ia dibawa oleh Pegawai Pembawa Panji-Panji dengan diiringi SMR dan empat sarjan.

Sepanjang ambo dalam tentera, hanya sekali berpeluang menjadi Pegawai Pembawa Panji-Panji iaitu ketika lawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar ke Markas Lima Briged, Kem Lok Kawi, Sabah, tahun 1995.

Ketika Paluan Berundur Batalion Keenam Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) berpindah ke Kem Desa Pahlawan, majlis diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, ambo ditugaskan sebagai Penolong Pegawai Kawalan Kehormatan Utama.

Ketika 18 RAMD, Kem Seberang Takir, Terengganu dianugerahkan panji-panji, ambo menjadi Pegawai Pengawal Padang (pengawal keliling padang) di majlis istiadat yang diadakan di Stadium Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. 
 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan