Satu amalan yang biasa
dilakukan dalam masyarakat kita apabila mendengar kematian seseorang ialah
menyedekahkan bacaan al-Fatihah.
Kita sering mendengar
ungkapan mengajak agar menyedekahkan al-Fatihah kepada seseorang dalam sesuatu
majlis.
Contohnya, "marilah
kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah kepada si fulan bin si fulan yang baru
sahaja meninggal sebentar tadi…”
Bahkan, kita juga
diingatkan agar menyedekahkan al-Fatihan kepada mereka yang telah lama
meninggal dunia seperti pejuang negara, tokoh tertentu, sanak saudara dan
sebagainya.
Di Facebook dan media
sosial lain juga kini menjadi medan untuk menulis “al-Fatihah (dibaca)” sebagai
tanda bacaan al-Fatihah telah dibacakan dan disedekahkan kepada si mati.
Dengan kata lain, perkara
itu sudah menjadi satu kebiasaan. Bahkan, dirasakan satu kejanggalan jika tidak
melakukan perkara itu jika diketahui ada berita mengenai satu-satu kematian.
Kita akan merasa seperti jahil dan tidak sensitif dengan berita kematian itu.
Persoalannya, adakah
perbuatan itu suruhan agama?
Sebenarnya, perbuatan
membaca al-fatihah kepada si mati atau menyedekahkan pahala bacaannya kepada si
mati tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW dan bukan merupakan amalan para
sahabat dan kaum salaf.
Tidak diriwayatkan walau satu hadis, cerita atau apa jua kisah bahawa Rasulullah
SAW dan para sahabat pernah melakukan amalan sedekah al-Fatihah kepada orang
mati di kalangan mereka.
Isunya bukan soal sampai atau tidak sampai, tetapi soalnya tidak pernah dibuat oleh Nabi
SAW dan ia masalah ibadah serta tidak boleh melakukan sesuatu yang Nabi SAW
tidak buat.
Sedekah ialah memberikan sesuatu yang sudah kita miliki. Adapun pahala bacaan
al-Fatihah belum tentu dimiliki oleh kita kerana boleh jadi saja ia ditolak
oleh Allah SWT kerana tidak ikhlas, tidak betul tajwid atau salah sebutan
bacaan sehingga maknanya lari.
Lalu jika pahala al-Fatihah itu pun belum dijamin dapat, bagaimana mahu
diberikan kepada orang lain? Kalau sedekah harta dan sesuatu milik kita, maka
hal tersebut sudah jelas dan sememangnya diterima oleh syarak.
Sebenarnya, jika kita
boleh menyedekahkan pahala bacaan al-Fatihah, maka kita juga boleh
menyedekahkan pahala bacaan ayat al-Quran lain. Ini kerana, membaca al-Quran
mendapat pahala tanpa mengira ayat atau surah mana.
Berkata Abdullah bin
Masud bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa membaca satu
huruf daripada Kitab Allah (Al-Quran), maka baginya satu hasanah (kebaikan),
dan setiap satu hasanah baginya 10 pahala. Aku tidak katakan آلم satu huruf, bahkan
alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf." (Hadis riwayat
Tirmizi).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan