Rabu, 26 Mac 2025

SINGAPURA TAMBAH KEUPAYAAN ARMADA KAPAL SELAM

 
Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan membeli dua lagi kapal selam kelas Invincible, untuk menambah armada sedia ada negara tersebut sebanyak empat kapal selam yang telah dibeli. Singapura dan  Thyssen Krupp Marine System (TKMS) menandatangani dua kontrak berasingan pada 2013 dan 2017 untuk perolehan empat buah kapal selam Type 218SG kelas-Invicible yang diberikan nama “Invincible”, “Impeccable”, “Illustrious” dan “Inimitable.”

Walaupun empat kapal selam buatan TKMS daripada Jerman itu berada di landasan yang baik untuk beroperasi sepenuhnya pada sekitar 2028, jumlah itu tidak optimum untuk sebuah negara yang mempunyai armada kapal selam.

Langkah menambah dua kapal selam itu  membuktikan komitmen Tentera Laut Republik Singapura (RSN) untuk mengekalkan armada kapal selam yang kuat dan bersedia untuk operasi pada tahap optimum.

Perolehan kapal selam tambahan ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang Singapura untuk memperkukuh keselamatan maritim dan keupayaan pertahanan dalam persekitaran keselamatan serantau yang semakin kompleks.

Dengan pertambahan kapal selam kelas Invincible, RSN dilihat berkeupayaan tinggi untuk memastikan laluan perairan Singapura selamat serta mengekalkan keupayaan pertahanan bawah laut yang berwibawa bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

Gambar atas - RSS Invincible merupakan kapal pertama (leadship) daripada empat buah kapal selam yang telah diterima RSN.

Gambar - Kapal selam Type 218SG Kelas Invincible yang mahu dibeli Singapura, tambahan dua buah- Foto AGENSI