Jumaat, 15 September 2017

AL-QURAN TURUN MALAM QADAR


Satu keistimewaan Lailatulqadar dikaitkan malam di mana al-Quran diturunkan. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba Kami tidak ditimpa azab). (Kami menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah serta ketetapan yang bakal berlaku (surah al-Dukhan, ayat 3-4).

Al-Quran menjadi anugerah mukjizat kepada umat Nabi Muhammad SAW yang terus berkekalan sepanjang masa.  Sedangkan, mukjizat yang dimiliki para nabi lain sekadar wujud semasa hayat nabi berkenaan.

Betapa hebat umat Nabi Muhammad memiliki al-Quran yang menjadi petunjuk sepanjang masa.  Firman Allah SWT dalam ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan penjelasan mengenai petunjuk dan perbezaan (antara yang hak dan batil).”

Hal ini telah dinyatakan di dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatul qadar itu? Lailatul qadar ialah malam yang paling baik berbanding 1,000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibrail turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar" (surah al-Qadr, ayat 1-5).

Dalam ayat di atas., Allah SWT secara jelas telah menerangkan berkaitan penurunan al-Quran pada malam al-Qadar. Ini merupakan bukti jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan malam lailatul qadar yang tiada tolok bandingannya.

Oleh yang demikian, Allah SWT telah menjanjikan bahawa sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadhan dan menepati malam lailatul qadar, maka akan diberi ganjaran pahala amalan mereka itu melebihi ibadah yang dilakukan selama 1,000 bulan.


Maksud Allah menurunkan al-Quran pada malam Lailatulaqdar ialah diturunkan dari Lohmahfuz ke Bait al-Izaah di langit dunia secara keseluruhannya.  Dari Bait al-Izaah, ayat al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah SAW oleh Jibrail selama 23 tahun.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan