Jumaat, 18 September 2020

PENYAKIT KENCING TIKUS MEMBAWA MAUT

Penyakit kencing tikus atau nama sainsnya Leptospirosis ialah penyakit berjangkit  disebabkan bakteria Leptospira yang disebarkan melalui haiwan. Jika tidak dirawat segera, penyakit ini boleh merebak dan membawa maut. 

Leptospirosis merupakan antara penyakit berjangkit yang sering berlaku di Malaysia. Kes Leptospirosis pertama direkodkan di Malaysia dikatakan sekitar tahun 1925.

Leptospirosis merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria spirochete, iaitu spesies leptospira interrogans. Ia merupakan penyakit bawaan zoonotik kerana manusia biasanya mendapat jangkitan ini daripada haiwan terjangkit (infected animals) contohnya tikus.

Namun kini, banyak jenis haiwan boleh menjadi perumah bakteria ini, sama ada liar atau peliharaan. Haiwan dijangkiti ada kalanya menunjukkan tanda sakit, tetapi sekadar menjadi pembawa dan tidak memindahkan jangkitan. Secara umumnya bakteria Leptospira boleh menjangkiti anjing, tikus dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.

Bakteria ini akan berada di dalam buah pinggang haiwan terjangkit dan akan keluar bersama air kencing haiwan tersebut.

Manusia boleh terjangkit melalui pendedahan dengan kencing yang tercemar pada luka ataupun terminum atau termakan makanan yang tercemar dengan kencing tikus.

Selain itu, jangkitan boleh berlaku dengan melaui udara yang mengandungi titisan air kencing yang tercemar dengan kuman Leptospira. Aktiviti perkelahan di kawasan air merupakan satu cara lazim terjangkit penyakit ini.

Leptospirosis juga digelar sebagai “The Great Mimicker” kerana boleh menyembabkan simptom yang pelbagai sama seperti penyakit lain mengakibatkan ia agak susah untuk di diagnos.

Antara komplikasi penyakit ini adalah seperti menyebabkan kegagalan pada fungsi hati dan ginjal, jangkitan kuman pada otak (Meningitis), atau masalah pernafasan seterusnya kematian andai tidak dirawat.

Tanda atau gejala bermula dengan demam, menggigil, sakit anggota tubuh dan sakit kepala, batuk tidak berkahak, loya, muntah dan cirit-birit, sakit sendi, sakit tulang, sakit tekak dan sakit perut.

Pesakit mungkin mengalami sakit otot, pembesaran limpa atau hati, bengkak salur kelenjar, sakit tekak, kekerasan otot, perubahan bunyi pada peparu atau ruam.

Penyakit ini boleh mendatangkan gejala yang ringan sehingga serius. Biasanya, 90% orang yang terjangkit mengalami gejala yang ringan sahaja contohnya demam panas, sakit sendi, mata merah dan sakit perut. 

Ada sesetengah orang yang boleh mengalami gejala yang teruk contohnya kerosakan buah pinggang, jaundis, pendarahan dalam paru-paru serta jangkitan kuman otak dikenali sebagai meningitis.

Biasanya, kelewatan mendapatkan rawatan awal terhadap demam yang dianggap biasa merupakan punca kepada penghidap penyakit kencing tikus ini maut.

Rawatan untuk penyakit kencing tikus ini merupakan ubat-ubatan seperti  antibiotik  yang boleh diberikan melalui suntikan atau dimakan.

Antibiotik merupakan sejenis ubat yang boleh membasmi jangkitan bakteria dari badan. Ubat-ubatan ini merupakan sesuatu rawatan yang memang terbukti dapat merawat penyakit kencing tikus ini. Contoh antibiotik yang sering digunakan adalah Penicillin G, Ampicillin, Doxycycline, Amoxicillin dan Ceftriaxone.

Namun demikian, terdapat petua yang dikatakan boleh merawat penyakit kencing tikus iaitu penggunaan serai. Petua ini menyatakan bahawa  serai  merupakan penawar penyakit kencing tikus.

Dalam petua ini, beberapa batang serai termasuk daunnya dibasuh lalu direbus. Air rebus dengan serai ini hanya perlu diminum supaya dapat sembuh daripada jangkitan kuman ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan