Ahad, 7 Mac 2021

KERJASAMA PERLU ATAS DASAR KEJUJURAN

Usaha untuk memulihkan UMNO selepas dilanda badai fitnah PRU14 bukanlah suatu kerja yang mudah. Kiri kanan, depan belakang, atas bawah musuh tidak pernah berhenti cuba menyekat.

Musuh politik nyata sudah pasti. Musuh tidak nyata berselindung dalam kesamaran penuh hasutan. Mereka tampil dalam pelbagai bentuk. Ada yang menjadi jurucakap dan ada yang atas dasar perpaduan ummah.  

Musuh nyata politik berusaha keras untuk menghancurkan UMNO secara keseluruhan. Bagaimanapun usaha itu tidak pernah berjaya kerana kedegilan pemimpin dan ahlinya. Sukar untuk mencabut dan menghapuskan akar yang terus menjalar di bawah.

Lalu, musuh politik membuat serampang banyak mata. Banyak rancangan diatur dan laksanakan. Banyak yang diterjah mengikut berbaga-bagai arah. Untung-untung ada serampang yang mengena.

Musuh tahu UMNO parti keramat bangsa, agama dan parti terbesar umat Melayu mampu bangkit semula. Jika UMNO terus wujud, parti lain tidak mampu menarik banyak sokongan.

Untuk itu UMNO mahu dalam kawalan mereka pula selepas riwayatnya tidak mampu ditamatkan.

Musuh politik menggunakan pemimpin dan ahli UMNO sendiri untuk melemahkan UMNO, tetapi kononnya untuk penyatuan ummah dan mengekalkan kuasa UMNO. Inilah dikatakan telunjuk lurus kelingking berkait.

Kalau jujur unuk penyatuan ummah, prinsip yang perlu dipersembahkan perlu berlandaskan kepada kejujuran dan keikhlasan. Bukan untuk menguasai supaya terus berkuasa. Bukan juga bukan untuk kepentingan si polan dan si polan.

Jika perpaduan ummah diniatkan, jangan ada sikap merampas hak sahabat. Merampas bukan secara hak amat ditegah oleh Islam.

Kerusi UMNO yang dibawa melompat ke parti lain oleh ‘si katak’ perlu dikembalikan ke pangkuan UMNO pada PRU15 nanti. Kalau sudah mengaku kuat, carilah kerusi lain yang ditempatkan si katak untuk kekal sebagai Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan