Sabtu, 4 Disember 2021

TINGGALAN SEJARAH DI KAMPUNG JUBAKAR PANTAI

 
Bahan bersejarah adalah harta pusaka bernilai bagi industri pelancongan. Sejarah adalah produk pelancongan yang sering mendapat perhatian.

Sepatutnya apa sahaja bahan bersejarah perlu dipelihara dan diperkenalkan sebagai produk pelancongan. Amat rugi jika sesuatu yang boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong berkunjung ke sesuatu tempat tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Antara bahan yang mempunyai nilai sejarah di Tumpat, khususnya di Kampung Jubakar Pantai, ialah ‘pelabuhan’ mengeksport biji besi.

Banyak orang tidak tahu mengenai sejarah bahawa di kawasan pantai Kampung Jubakar Pantai pernah dijadikan pelabuhan mengeksport biji besi.

Jika melalui tepi pantai di kampung berkenaan, pasti banyak orang tertanya-tanya mengenai kewujudan tiang-tiang terpacak dari tepi pantai menganjur ke tengah laut.

Tiang-tiang tersebut sebenarnya bahagian jambatan yang masih kekal, sedangkan bahagian atas telah runtuh dimamah usia.

Jambatan tersebut telah dibina oleh syarikat yang terlibat dalam perlombongan bijih besi di Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua meletus. Justeru, jambatan itu lebih dikenenali sebagai 'jambatan bijih besi' di kalangan penduduk.

Jambatan bijih besi itu dibina bagi memudahkan kerja-kerja pemunggahan bijih besi dari darat ke kapal pengangkut. Kapal besar tidak dapat menghampiri tebing kerana air cetek.

Bijih besi ini diusahakan oleh sebuah syarikat Jepun iaitu Oriental Mining Co. di kawasan Bukit Besi Temangan Kelantan. Di sini bijih besi diangkut dengan menggunakan keretapi ke Pelabuhan Tumpat.

Bijih besi tersebut akan dimasukkan ke dalam satu bekas khas di mana ianya akan diangkut pula ke kapal melalui jeti yang dibina. Dari kapal kecil ini bijih besi tersebut akan dibawa ke kapal induk untuk dieksport ke negara Jepun.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1941-1945 pengeluaran bijih besi terus dilakukan oleh pemerintah tentera Jepun dan lombong di suatu kawasan yang sekarang ini terdirinya Sekolah Kebangsaan Temangan.

Selepas Peperangan Dunia Kedua pengeluaran bijih besi masih diteruskan dilakukan oleh syarikat yang sama tetapi di bawah pengawasan pemerintah British.

Pengeluarannya berterusan sehingga tahun 1965 di mana operasinya dihentikan kerana bekalan bijih yang ada semakin berkurangan.

Sejak itu jambatan bijih besi tidak berfungsi lagi dan dibiarkan tidak terurus. Kini yang tinggal hanyalah kesan runtuhan yang menjadi bukti sejarah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan