Isnin, 5 Jun 2023

PEMBIMBING PERLU ADA KEMAHIRAN MENDENGAR

 
Ketika latihan dalam kumpulan atau istilah ringkasnya adalah LDK, ada pembimbing atau pemudah cara ditugaskan untuk mengendalikan LDM. Pembimbing adalah tunjang yang paling penting dalam LDK ini. Dalam aktiviti LDK ini, ahli kumpulan akan dapat menyesuaikan diri dalam tempoh masa yang singkat.
 
Melalui LDK juga para peserta berpeluang berkongsi pendapat, berkongsi masalah, mengenal potensi diri, memupuk sikap keterbukaan, melatih sikap kejujuran dan amanah.
 
Selain tu LDK juga dapat membantu para peserta memupuk keyakinan diri, membentuk keterampilan diri dan melatih emosi untuk sentiasa mengutamakan nilai-nilai murni dalam kumpulan.
 
Kawalan tempoh masa dalam LDK juga adalah penting kerana penyampaian pembimbing yang meleret-leret dan tidak menepati objektif kem akan memakan lebih masa. Begitu juga dengan pembabitan peserta yang membahaskan isu.
 
Justeru, latihan dalam kumpulan perlu mematuhi tempoh masa yang ditetapkan dan pembimbing yang berkebolehan adalah penting untuk merancang dengan lebih awal sebelum aktiviti dijalankan.
 
Pembimbing yang berkebolehan turut penting dalam mencungkil bakat keterampilan para peserta semasa LDK dijalankan. Pembimbing juga perlu mempunyai sikap menerima secara terbuka, membimbing tanpa batasan, dan bijak membuat keputusan selain berperanan sebagai sahabat.
 
Justeru, pembimbing yang baik akan dapat membantu objektif yang dirangka untuk dilaksanakan dengan jayanya.
 
Untuk menjayakan tugas sebagai pembimbing amat penting perlu ada kemahiran mendengar yang baik. Tips kemahiran mendengar yang baik memerlukan mendengar dengan telinga iaitu mendengar apa yang dicakapkan melalui suara.
 
Perkara kedua ialah mendengar dengan mata, yakni memerhati dan melihat ada yang berlaku di sekeliling melibatkan para peserta yang dibimbing.
 
Kemahiran mendengar yang lain ialah mendengar dengan hati dengan melahirkan rasa empati. Empati ialah daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain.
 
Manakala hak keempat ialah mendengar dengan bahasa badan (body language). Pembimbing perlu memahami atau peka kepada apa yang dizahirkan oleh peserta melalui perlakuan, mimik muka dan nada suara.
 
Kemahiran yang paling penting dalam pembimbingan adalah kemahiran mendengar, dan kemudian kemahiran komunikasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan