Rabu, 28 Mei 2025

DIPISAHKAN KERANA DOSA

 
Persahabatan adalah nikmat dalam kehidupan. Nikmat itu Allah SWT limpahkan kepada hati yang ikhlas membina hubungan semata-mata kerana Allah SWT.
 
Kesan daripada itu, maka timbullah perasaan kasih sayang, hormat-menghormati dan saling percaya mempercayai antara satu sama lain.
 
Namun, ada yang sebelum bersama-sama menempuh suka duka bersama dalam persahabatan, tetapi kemudian bertukar menjadi bergaduh dan bertengkar. Malah, saling bermusuh dan saling membongkar keaiban.
 
Mengapakah perkara itu berlaku? Setiap perkara yang berlaku pasti ada sebabnya.
 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tiada dua orang berkasih sayang, kemudian dipisahkan antara kedua-duanya melainkan kerana dosa yang dilakukan oleh salah seorang daripada keduanya." - (Hadis riwayat Ahmad)
 
Al-Muzani berkata: "Jika engkau mendapati sikap kasar daripada saudara-saudaramu, maka bertaubatlah. Ini kerana sesungguhnya engkau telah melakukan dosa. Jika engkau mendapati tambahan kasih yang daripada mereka, maka itu adalah kerana ketaatan yang telah engkau lakukan. Maka, bersyukurlah kepada Allah ta'ala." (Al-Faidh)
 
Jelas, Islam telah memberi peringatan tentang perkara ini dan memberi panduan bagaimana hendak menyelesaikannya.  
 
Semoga Allah tunjukkanlah kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya.
 
Firman Allah SWT: "Dan Dia (Allah) yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Walaupun engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Anfal, ayat 63)
 
Syeikh Muhammad Mutawalli Syarawi dalam tafsirnya menyebut, bantuan Allah seperti kekuasaan kepada orang mukmin melalui tiga faktor iaitu bantuan kepada tercapainya kemenangan, Allah membantu dengan pembabitan orang mukmin dan mempertautkan hati mereka.
 
Justeru, perkara penting yang perlu diperhatikan ialah bagaimana mempertautkan hati masyarakat Islam supaya mereka membina persahabatan, persaudaraan dan perpaduan berdasarkan teras sebenar yang dituntut al-Quran.
 
Sesungguhnya dasar dan teras kepada persahabatan ialah keimanan kepada Allah SWT yang akan melahirkan sesuatu yang indah dalam perhubungan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan