Ahad, 18 Disember 2016

Bulan Sabit Merah Malaysia bertaraf antarabangsa

Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) merupakan persatuan sukarela bertaraf antarabangsa.  

PBSMM menjadi ahli kepada Liga Persatuan Palang Merah Antarabangsa (The International Committee of the Red Cross - ICRC).

PBSMM mula diperkenalkan di negara kita pada tahun 1951 sebagai cabang Persatuan Palang Merah British, sewaktu negara masih dijajah oleh British.  

Tugas utama Persatuan Palang Merah pada ketika itu memberi perkhidmatan perubatan, kesihatan dan kebajikan kepada masyarakat yang sedang mengalami pelbagai kesusahan akibat Zaman Darurat (1948 – 1960).

Persatuan Palang Merah Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) ditubuhkan setelah negara mencapai kemerdekaan. Ini bermakna persatuan ini tidak lagi berada di bawah Persatuan Palang Merah British, sebaliknya terus menjadi ahli ICRC. 

Nama Persatuan Palang Merah Malaya ditukar menjadi Persatuan Palang Merah Malaysia pada tahun 1963 apabila Malaysia ditubuhkan.  

Kemudiannya pada tahun 1975, melalui Akta Parlimen 162, kerajaan Malaysia menukar nama dan logo persatuan. Namanya ditukarkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. 

Lambang bulan sabit merah, yang turut digunakan di negara-negara Islam di seluruh dunia digunakan menggantikan lambang palang. Pertukaran nama dan lambang bagaimanapun tidak menukar peranan persatuan dan masih menjadi sebahagian Ahli Liga Palang Merah Antarabangsa.

Keahlian PBSMM terbuka kepada sesiapa yang ingin menyumbangkan khidmat secara sukarela. Di peringkat sekolah rendah, ahlinya dikenali ahli Link. Manakala ahli-ahli di peringkat sekolah menengah pula dikenali ahli Belia.

PBSMM adalah persatuan atau kegiatan kokurikulum paling mendapat sambutan di sekolah. Mereka dipimpin oleh guru yang dilantik menjadi Pegawai Link atau Pegawai Belia oleh PBSMM.  

Individu yang berumur lebih 18 tahun pula berpeluang menyertai PBSMM melalui Pasukan Bantuan Sukarela (PBS) atau lebih dikenali VAD yang terdapat di seluruh negara. 

Ahli dewasa terbuka kepada sesiapa yang ‘dewasa’ yang mendaftar secara terus di peringkat cabang, cawangan atau di ibu pejabat kebangsaan.  

Kebanyakan ahli dewasa terdiri pegawai kerajaan, ahli perniagaan, profesional dan pemimpin masyarakat. 

Ahli PBSMM dilatih dengan kemahiran pertolongan cemas, pengurusan mangsa bencana, kawat kaki, Sejarah Palang Merah atau Bulan Sabit Merah dan undang-undang kemanusiaan untuk membolehkan mereka memberi khidmat bakti secara sukarela mengikut tahap dan kemampuan masing-masing.  

Ahli PBSMM berpegang kepada prinsip kemanusiaan, berkecuali, bebas, sedunia, bersatu, saksama dan sukarela, yang menjadi teras kepada semua ahli ICRC di seluruh dunia. 

Prinsip kemanusiaan menekankan kepada usaha mencegah dan meringankan kesengsaraan di mana jua, melindungi nyawa dan kesihatan, serta menentukan penghormatan sesama manusia. 

Prinsip itu berjaya memupuk kefahaman, persahabatan, kerjasama dan perdamaian yang kekal antara semua manusia.

Prinsip berkecuali menandakan persatuan tersebut tidak menyebelahi mana-mana pihak yang bermusuhan dan tidak menyertai pertikaian bercorak politik, perkauman, agama atau ideologi. Mereka memberi bantuan tanpa mengira kawan atau lawan. 

Dalam kebanyakan kes, persatuan ini menjadi satu-satunya pihak yang diterima menjadi  perantaraan dalam pertelingkahan, konflik, tuntutan dan sebagainya antara dua pihak yang melibatkan keselamatan, perlindungan dan bantuan kecemasan.

Maksud bebas ialah diperakui hak untuk melakukan tugas di mana-mana sahaja tanpa sekatan atau batasan negara, agama dan bangsa.  

Bagaimanapun, persatuan terikat kepada undang-undang setempat yang bertujuan untuk kebaikan semua pihak. 

Persatuan tidak terikat dengan arahan tugas oleh mana-mana badan lain. Bagaimanapun, persatuan ini boleh diminta untuk melakukan sesuatu tugas mengikut kesesuaian dan kemampuan.

Sedunia bererti persatuan tersebut ditubuhkan di seluruh dunia dan melakukan aktiviti di seluruh dunia tanpa mengira tempat asal ahlinya. Dalam menjalankan aktiviti, setiap ahli berpegang kepada prinsip bersatu dengan semua ahli.

Prinsip seterusnya ialah melakukan tugas dan aktiviti dengan saksama tanpa mengira kawan atau lawan. Tujuan asasnya meringankan kesengsaraan individu dan mengutamakan bantuan.

Prinsip terakhir ialah khidmat diberikan secara sukarela. Sumber kewangan untuk menjalankan aktiviti diperoleh melalui bantuan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta dan orang perseorangan. Ahli-ahlinya berkhidmat dengan sukarela.

PBSMM sepanjang perkhidmatannya telah memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat Malaysia dan antarabangsa. 

PBSMM menjadi persatuan kebangsaan pertama di Malaysia dianugerahkan Medal Nesan sebagai penghargaan kerana khidmat cemerlang kepada pelarian dan orang hilang.

PBSMM juga merupakan pasukan sukarela pertama di Malaysia dianugerahkan Medal Tun Abdul Razak sebagai menghargai khidmat cemerlang kepada masyarakat setempat dan pelarian Vietnam.

Penaung PBSMM ialah Yang Dipertuan Agong dan presiden disandang oleh Perdana Menteri. Jawatan itu disandang secara automatik bagi penyandang jawatan berkenaan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan