Allah SWT telah menjanjikan
sesiapa beribadah pada bulan Ramadan dan menepati Lailatul Qadar, maka akan
diberi ganjaran pahala amalan mereka itu melebihi ibadah yang dilakukan selama
1,000 bulan.
Memandangkan tidak diketahui
bilakah Lailatulqadar, mengikut akal logik, jika kita 'borong' kesemua malam
pada bulan Ramadan, terutama pada 10 mlam terakhir seperti dijelaskan dalam
hadis, sudah pasti kita tidak akan terlepas mendapatnya.
Jumlah
10 malam terakhir bukan 'banyak' untuk dipenuhi dengan ibadat berbanding
ganjaran yang diperoleh. Inilah pentingnya fokus dan ikhlas agar apa yang
dilakukan dirasakan mudah dan sesuatu yang disenangi.
Tetapi
fenomena sebaliknya berlaku dalam masyarakat kita. Biasanya, pada
akhir-akhir Ramadan, kita telah mula hilang fokus kepada ibadat. Ia
mungkin berpunca rasa sudah 'jemu' melakukan ibadat sejak awal bulan lagi.
Mungkin
juga kehebatan ibadat pada awal Ramadan hanya sekadar satu ritual yang
diamalkan sejak turun temurun. Sebab itu, amat penting kita menanam dalam diri
setiap muslim melakukan ibadat kerana mencari keredaan Allah SWT, dan bukannya
kerana terikut-ikut dengan budaya atau pengaruh masyarakat sekeliling.
Jika
kita benar-benar ingin beribadat pada malam Lailatulqadar, sesibuk mana
sekalipun peluang masih ada. Beribadat tidak semestinya di masjid atau
atas tikar sembahyang sahaja.
Berzikir,
beristigfar, berselawat, membaca al-Quran (walaupun sekadar beberapa ayat atau
surah lazim), bersedekah, membantu sesama muslim dan melakukan sesuatu kebaikan
juga termasuk dalam ibadat yang perlu dilakukan pada malam Lailatulqadar.
Dengan
kata lain, tidak sukar untuk menghidupkan Malam Qadar mengikut kesempatan
masing-masing. Selagi bulan Ramadan belum berakhir, peluang untuk menjadi
tetamu Lailatulqadar masih ada.
Sebuah
hadis menjelaskan mengenai keberkatan Lailatulqadar yang bermaksud: “Sesiapa
yang berpuasa Ramadan dan qiam dengan penuh keimananan mengharapkan ganjaran
daripada Allah, diampuni baginya dosanya yang lalu, dan sesiapa yang melakukan
qiam pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran
daripada Allah, akan diampuni dosa mereka yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari).
Rebutlah
peluang menambah pahala dengan memperoleh Lailatulqadar. Lipatgandakan ibadat
secara melakukan ibadat khusus dan ibadat sunat lain. Setiap ibadat dilakukan
diniatkan untuk mendapat keredaan Allah.
Sesungguhnya ibadah qiamullail
merupakan kegemaran Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda. Saidatina Aishah pernah
berkata: "Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana Rasulullah
SAW tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda sakit atau keletihan, baginda
bersolat dalam keadaan duduk. "
Rasulullah SAW
juga bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan malam pada bulan
Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa-dosanya
yang telah lalu" (hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan