Salah satu
cara menuai padi secara tradisional ialah menggunakan ketam padi. Ketam itu
ada macam-macam nama. Dalam dialek Kelantan dinamakan 'tamee' atau 'taman'.
Ketam padi banyak bentuk mengikut
pembuat setempat. Namun, perkara asasnya ialah kayu yang pada bahagian
hadapanya dilekatkan mata pisau.
Pada bahagian tengah ditebuk
lubang untuk diletakkan kayu bulat sebesar ibu jari yang dijadikan tempat 'mengawal'
ketam untuk memudahkan kerja semasa mengetam.
Ketam dipengang menggunakan
sebelah tangan. Ia disepitkan di antara jari manis dan jari hantu.
Mata ketam akan didekatkan pada
tangkai padi. Empat jari akan mencapai tangkai padi dan kemudian akan digenggam
yang akan menarik tangkai padi mata ketam dan memotongnya.
Gabungan ibu jari, jari telunjuk
dan jari hantu memegang tangkai padi agar tidak jatuh yang kemudiannya akan 'dialih'
ke tangan sebelah lagi untuk dikumpulkan.
Ada juga cara ketika mata ketam
diletakkan pada tangkai sebelum dipotong, satu tangan lagi terus memegang
tangkai padi. Cara itu biasanya dilakukan oleh mereka yang masih belum mahir menggunakan
ketam.
Tangkai padi yang telah dipotong itu
akan dikumpul dan diikat menjadi satu 'gemar'.
Tuaian cara ini biasanya padi itu
akan disimpan dengan tangkainya agar lebih tahan lama dan lambat rosak.
Tuaian cara ini juga digunakan
apabila buah padi tidak masak sekata. Jadi mudah untuk memilih hanya tangkai yang sudah
masak sahaja dipotong.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan