Ahad, 18 Disember 2016

Tidak Perlu Asing Saf Kanak-kanak

Saf kanak-kanak perlu diasingkan dengan orang dewasa, dibimbangi sembahyang batal jika sentuh kanak-kanak bawa najis (belum bersunat). Alasan perlu asingkan saf kanak-kanak berdasarkan satu hadis.

“Rasulullah SAW menjadikan saf orang dewasa di hadapan kanak-kanak, dan saf kanak-kanak di belakang mereka sementara saf perempuan di belakang kanak-kanak.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Syeikh al-Albani menyatakan: “Sanad (rangkaian perawi) hadis ini lemah. Terdapat seorang periwayat hadis yang lemah namanya Syahr bin Husyab. 

Menjadikan saf kanak-kanak di belakang saf dewasa aku tidak mendapati hadis yang lain kecuali hadis ini sahaja dan ianya tidak boleh dijadikan hujah. 

Aku berpendapat tidak mengapa kanak-kanak bersolat sekali dengan saf dewasa sekiranya terdapat kekosongan. Hadis Anas yang bersolat bersama seorang anak yatim di belakang Rasulullah SAW menjadi hujah dalam masalah ini.” (Tamamul Minnah, hlm. 284)

Antara hujah yang digunakan juga ialah kanak-kanak itu menaggung najis yang sekiranya bersolat bersama di dalam satu saf maka akan batallah satu saf tersebut. 

Hujah ini tidak dibina di atas dalil al-Quran dan sunnah. Bahkan Nabi SAW mendukung cucunya ketika solat.

Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: “Hadis menunjukkan bersihnya pakaian kanak-kanak, sekiranya dihukumkan najis sudah tentu Nabi tidak mendukungnya, begitu juga yang dinaskan (disebut) oleh Imam Syafie dan selainnya.” 

Kanak-kanak bukan saja boleh duduk dalam satu saf dengan orang dewasa, bahkan boleh menjadi iman.  

Kanak-kanak yang mempunyai kelebihan seperti mereka yang menghafal al-Quran dan bagus bacaannya atau kanak-kanak yang dianugerahkan Allah akan ilmu dalam agama boleh dikehadapankan daripada orang awam biasa. Sehingga boleh dilantik sebagai imam walaupun belum mencapai usia baligh.

Imam Khatib al-Syarbini menyatakan: “Sekiranya kanak-kanak lebih afdhal (baik) daripada orang dewasa seperti mereka fasiq tetapi kanak-kanak itu dari kalangan baik dan bagus maka kanak-kanak itu dikehadapankan daripada orang dewasa. Pendapat ini disebutkan oleh al-Darimi. (Mughni al-Muhtaj, jilid 1, hlm. 492)

Persoalan yang mungkin timbul ialah adakah sah solat yang diimami oleh kanak-kanak yang belum baligh? 

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Amr bin Salamah al-Jurmi mengimami kaumnya sedangkan umurnya ketika itu enam atau tujuh tahun.

Nabi SAW bersabda: “Yang mengimami mereka ialah yang paling baik bacaan al-Qurannya. 

Ketika dibaca sabda Nabi ini, orang ramai melihat-lihat kiri dan kanan maka mereka dapati tidak ada orang lain yang lebih baik bacaannya kecuali Amr bin Salamah al-Jurmi, kemudian beliau mengimami solat kaumnya. Hadis ini dalil kepada sahnya solat yang diimami oleh kanak-kanak yang belum baligh.

Membawa kanak-kanak ke masjid dan diajar sembahyang bersama-sama dalam satu saf adalah cara mendidik mereka. Bukan dengan mengasingkan mereka. 

Nabi SAW juga membawa anak kecil ke Masjid iaitu cucu baginda ketika bersolat.  Malah Nabi SAW menjadi imam solat ketika itu.

Abdullah bin Syaddad meriwayatkan bahawa ayahnya berkata: ”Rasulullah menemui kami saat hendak mengerjakan salah satu solat malam (iaitu maghrib atau isya) sambil membawa Hasan atau Husain. Rasulullah ke hadapan dan meletakkan cucunya tersebut lalu mengucapkan takbiratul-ihram dan memulai solat.

Di tengah solat, beliau sujud cukup lama”. Ayahku berkata: ”Maka aku mengangkat kepala, lalu nampaklah cucu beliau yang masih kecil itu sedang bermain di atas belakang beliau, sedangkan beliau tetap sujud. Maka aku pun sujud kembali.

Setelah selesai solat, para shahabat bertanya: ’Wahai Rasulullah, engkau sujud terlalu lama di tengah-tengah solat tadi, sehingga kami mengira telah terjadi sesuatu, atau engkau sedang menerima wahyu”. 

Rasulullah SAW bersabda: ”Semua dugaan kalian tidaklah terjadi. Akan tetapi cucuku ini sedang naik ke belakangku seperti sedang menunggang kenderaan. Aku tidak ingin memberhentikannya sampai dia benar-benar berhenti sendiri” (Hadis Riwayat Nasai dalam Ash-Shughraa no. 1141; sahih).

Manakala dari hadis yang lain dari Abi Qatadah Al-Anshary dia berkata: ”Aku melihat Nabi sedang mengimami manusia dan Umamah binti Abil-’Ash – ia adalah anak dari Zainab binti Nabi (digendong) di atas bahunya. Apabila beliau rukuk, maka beliau meletakkannya, dan apabila beliau akan berdiri dari sujud, maka beliau kembali (menggendongnya)” (Hadis riwayat Bukhari no. 494 dan Muslim no. 543; ini lafaz Muslim).

Dua hadis di atas adalah bukti bahawa saf kanak-kanak tidak diasingkan dari saf orang dewasa bahkan cucu baginda berada di saf imam. 

Tindakan mengasingkan mereka adalah satu rampasan hak kanak-kanak tersebut yang juga seorang muslim.

Selain kanak-kanak menjadi trauma dan tertanam rasa dengki terhadap orang yang mengusirnya, kanak-kanak yang dikumpulkan di satu tempat dibelakang juga boleh menyebabkan mereka bermain-main dan berbuat bising dan perkara ini tidak terjadi jika kanak-kanak di dalam barisan orang dewasa di bawah pengawasan penjaganya.

Ibu bapa yang membawa anak ke masjid dalam rangka mendidik adalah terbaik namun dinasihatkan juga supaya mengawal anak-anak agar tidak menganggu jemaah yang sedang bersolat dan beribadah.

Syaikh Ibnu Utsaimin di dalam Fatawa Islamiyah 2/8 ada melarang ibu bapa dari membawa anak-anak jika menganggu jemaah yang sedang menunaikan kewajipan bersolat. Sebaik-baiknya bawalah anak-anak yang berusia tujuh tahun ke masjid sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud: “Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia 7 tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad, 11/369, no. 6756. Dinilai hasan oleh an-Nawawi, al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth)

Tiada larangan mutlak membawa anak di bawah umur 7 tahun cuma perlu dipastikan mereka dijaga dan tidak menganggu jemaah melakukan ibadah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan