Ahad, 18 Disember 2016

Durian sejuk beku

Durian dikenali raja buah. Durian berbuah secara bermusim. Keadaan ini menyebabkan berlaku lebihan durian apabila buah gugur serentak. Ketika kemuncak musim gugur, harga durian menjadi terlalu murah dan banyak yang tidak laku dijual sehingga rosak dan berlaku pembaziran.

Namun, perkara itu semakin dapat diatasi apabila isi durian dijadikan produk sejuk beku. Permintaan isi durian sejuk beku mendapat permintaan yang tinggi di luar negara terutama di China, Singapura, Hong Kong dan Taiwan.

Usaha melakukan memproses isi durian sejuk beku dilakukan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Pada tahun 2015, FAMA memproses kira-kira 4,000 tan metrik buah durian bagi tujuan itu di tujuh pusat pempro sesan FAMA dan dua pusat pemprosesan swasta.

Tujuh buah pusat pemprosesan dan penyimpanan isi durian sejuk beku FAMA kini terdapat di Jerantut (Pahang), Machang (Kelantan), Sungai Petani (Kedah), Beseri (Perlis) dan Batu Kurau di Perak.

Untuk memenuhi permintaan yang tinggi itu, FAMA akan membuka tiga lagi pusat pemprosesan dan pembekuan pes isi durian beku masing-masing satu di Besut (Terengganu), Sabah dan Sarawak.

Isi durian sejuk beku mampu tahan lama apabila disimpan berbanding dengan buah durian kerana pes durian boleh menghasilkan pelbagai menu seperti durian crepe, kebab, ais krim, lempeng durian dan sebagainya.

Kaedah isi durian sejuk beku ini tentu sekali menggembirakan pekebun durian yang sebelum ini sering berlaku lebihan pengeluaran sehingga ada yang membiarkan buah durian membusuk dan rosak di kebun. 

Isi durian sejuk beku biarpun tidak seenak durian segar, namun ia sudah berbaloi untuk peminat durian merasainya pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu musim durian gugur saja.

Produk berasas durian juga dapat memberi peluang kepada mereka yang tidak gemar memakan durian segar, sebaliknya suka perisa durian, merasai buah yang terkenal di Malaysia ini.

Diharapkan pihak FAMA dan penyelidik dapat menghasilkan lebih banyak produk berasaskan isi durian untuk dipasarkan bukan saja di dalam Malaysia, bahkan di luar negara.  

Malaysia mempunyai potensi besar menjadi pengeluar produk berasaskan pertanian. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan