Ahad, 18 Disember 2016

KHALID SI PEDANG ALLAH

Khalid al-Walid atau nama sebenarnya Khalid bin al-Walid bin al-Mughirah, juga  dikenali sebagai Saifullah al-Maslul bermaksud Pedang Allah yang terhunus atau Pedang Allah.  

Beliau antara panglima tentera Arab yang memainkan peranan penting dalam peperangan antara tentera Islam dengan tentera Byzantine (Rom) dan tentera Parsi pada kurun ketujuh.

Beliau terkenal dengan kebijaksanaan dalam peperangan dan menjadi panglima tentera Islam ketika zaman Nabi Muhamad SAW dan juga zaman khalifah-khalifah Abu Bakar dan Umar al-Khattab.

Kisah iktibar tentang peribadi mulia Khalid ialah beliau terus taat pada pemerintah biarpun dilucutkan jawatan sebagai panglima perang. 

Khalid keturunan Quraisy pernah suatu ketika menentang Nabi Muhammad. Beliau merupakan seorang askar yang aktif ketika Perang Uhud menentang tentera Islam.

Ketika hayat Nabi Muhammad, Khalid menyertai tentera Islam dalam Perang Mutah dan juga perang-perang lain. Selepas kewafatan Nabi, beliau dilantik penglima perang dan mengetuai ekspedisi menentang tentera Parsi dan Rom.

Khalid dilahirkan 592 di Makkah, anak kepada Walid al-Mughira, ketua Bani Makhzum, sebuah suku daripada suku bangsa Quraisy. 

Bani Makhzum satu daripada tiga suku yang terunggul di Makkah pada masa itu.  Dua yang lain ialah Bani Hasyim dan Bani Abd-al-dar.

Beliau sepupu Saidina Umar. Bapanya terkenal di Makkah dengan gelaran Al-Waheed (Yang Satu). Bani Makhzum bertanggungjawab tentang perkara-perkara berkaitan dengan peperangan.

Sejurus selepas kelahirannya, dan dengan mengikut resam orang Quraisy, Khalid dihantar untuk tinggal bersama suku kaum Badwi di kawasan gurun dan disusukan oleh seorang ibu susu yang juga membesarkan kanak-kanak dalam suasana persekitaran udara padang pasir yang kering, nyaman dan bersih.

Beliau pulang kepada ibu bapanya semasa berumur lima atau enam tahun. Semasa zaman kanak-kanak, Khalid diserang penyakit cacar yang meninggalkan parut pada pipi kirinya.

Khalid dan Umar, mempunyai wajah mirip masing-masing. Mereka tinggi dan Khalid juga berbadan tegap dan berbahu lebar. Beliau berjanggut tebal. Beliau juga seorang juara gusti.

Sebagai seorang ahli Bani Makhzum, satu suku yang pakar dalam peperangan dan dikira antara penunggan kuda yang terbaik di Semenanjung Arab, pada zaman kanak-kanaknya, Khalid belajar menunggang kuda dan mengguna senjata seperti tombak, lembing, panah dan pedang.

Dikatakan tombak menjadi senjata kesukaannya. Pada zaman remaja beliau disanjung sebagai seorang pahlawan dan ahli gusti oleh orang Quraisy.

Tidak banyak yang diketahui tentang Khalid sewaktu dakwah awal Islam, namun diketahui bahawa bapa Khalid, Walid al-Mughirah, memusuhi utusan yang dibawa Nabi Muhammad dan diri baginda sendiri.

Berikutan hijrah Nabi Muhammad, masyarakat orang Islam Madinah dan Quraisy Jahiliah Makkah bertempur buat beberapa kali. 

Khalid tidak mengambil bahagian dalam Perang Badar, pertempuran pertama antara Muslim Madinah dengan puak Quraisy Makkah. Tetapi saudara lelakinya, Walid bin Walid tertangkap dan menjadi tawanan orang Islam.

Khalid bersama-sama abangnya Hasham bin Walid pergi ke Madinah untuk membayar wang tebusan untuk Walid, tetapi dalam perjalanan pulang ke Makkah, Walid meloloskan dirinya daripada dua saudaranya dan pulang ke Nabi Muhammad di Madinah untuk memeluk Islam.

 Kepimpinan Khalid memainkan peranan penting dalam mengubah perjalanan pertempuran semasa Perang Uhud (625 M) dan hampir-hampir memastikan kemenangan Quraisy dalam pertempuran itu. 

Pada tahun 627 M beliau mengambil bahagian dalam Perang Ahzab (juga dikenali sebagai Perang Khandaq) menentang Muslim Madinah. Perang Ahzab merupakan kali terakhir Khalid menentang Islam.

Sebuah perjanjian damai selama 10 tahun dimeterai orang Islam dan Quraisy Makkah dengan pada tahun 628. 

Dicatatkan bahawa Nabi Muhammad memberitahu saudara Khalid, Walid bin Walid, bahawa: "Seorang lelaki seperti Khalid, tidak akan dapat menjauhkan dirinya daripada Islam buat masa yang lama".

Walid mengirim surat kepada Khalid untuk memujuknya memeluk Islam. Khalid, yang sebenarnya tidak beberapa tertarik dengan berhala yang terdapat di Kaabah membuat keputusan untuk memeluk Islam dan dikatakan telah berkongsi keputusannya dengan rakan zaman kanak-kanaknya, Ikrimah Abu Jahal.  Ikrimah tidak bersetuju dengan keputusan yang diambil Khalid.

Abu Sufyan bin Harb mengugut Khalid akan tetapi beliau ditahan Ikrimah yang dilaporkan telah berkata: "Bertenang ya Abu Sufyan! Kemarahan anda mungkin juga mendorong saya untuk menyertai Muhammad. Khalid bebas untuk memilih mana-mana agama yang dipilihnya."

Pada Mei 629 M, Khalid bergerak menuju ke Madinah. Dalam perjalanannya ke kota itu beliau bertemu Amr al-As dan Uthman bin Talha, yang juga dalam perjalanan ke Madinah untuk memeluk Islam. 

Mereka tiba di Madinah pada 31 Mei 629 dan pergi ke rumah Nabi Muhammad. Khalid disambut oleh abangnya Walid bin Walid dan merupakan orang yang pertama antara yang tiga untuk memeluk Islam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan