Ahad, 18 Disember 2016

CARA TEGUR PEMIMPIN

Pemimpin bukan maksum. Mereka juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Maka itu, kesalahan dilakukan pemimpin perlu ditegur. Islam telah menetapkan cara betul untuk menegur pemimpin. 

Memburuk dan menfitnah bukan cara menegur pemimpin, mahupun sesiapa saja. Sesiapa memburuk-burukan atau menfitnahkan orang lain, maka balasan pedih api neraka menantinya di akhirat. Manakala di dunia ini dia berdepan tindakan mahkamah dan diaibkan sesama mnusia. 

Mungkin mereka menyatakan niat mereka baik, tetapi Islam adalah agama yang berpegang kepada konsep ‘matlamat tidak menghalalkan cara’.

Adakah di Malaysia ini sudah ketandusan cara untuk berbincang dalam apa juga masalah hingga memerlukan cara fitnah yang bukan saja ditegah agama, bahkan menyalahi undang-undang. 

Fitnah yang dilakukan bukanlah jalan keluar. Bahkan hal itu termasuk daripada sebab musibah, kejelekan, kebencian manusia dan terjadinya permusuhan di antara manusia yang tidak sesuai dengan kebenaran. 

Adapun cara yang disyariatkan yakni: menulis surat, memberikan nasihat serta berdakwah kepada kebaikan dengan jalan ditetapkan syariat yang tentunya dijelaskan caranya oleh ahli ilmu, sahabat Rasulullah dan orang yang mengikuti Baginda dalam kebaikan yakni dengan menulis surat dan berhadapan langsung dengan pemimpin untuk memberikan nasihat tanpa menyebarkan perbuatan mereka lakukan di atas mimbar sehingga menimbulkan sesuatu tidak diinginkan, hanyalah Allah yang menjadi penolong.”

Budaya fitnah mengarahkan kepada sikap penentangan secara terbuka kepada kerajaan yang dipimpin pemimpin beragama Islam dan hal ini menunjukkan ciri golongan Khawarij.

Daripada Ummu Salamah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan ada sepeninggalanku nanti pemimpin (yang) kalian mengenalnya dan mengingkari (kejelekannya), maka barang siapa mengingkarinya (bererti) dia sudah berlepas diri, dan barang siapa membencinya (bererti) dia sudah selamat, akan tetapi barang siapa yang meredainya (akan) mengikutinya. Sahabat bertanya: Apakah tidak kita perangi (saja) dengan pedang? Baginda menjawab: Jangan, selama mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian.” (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi bermaksud: “Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu. Kamu mendoakan mereka, mereka pula mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu membenci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat mereka, mereka juga melaknat kamu. Baginda ditanya: Tidak bolehkah kami perangi mereka dengan pedang? Jawab Baginda: Tidak, selagi mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang dikuasai penguasa, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada Allah, dia hendaklah membenci maksiat tersebut, namun jangan mencabut tangan daripada ketaatan.” (Hadis riwayat Muslim)

Wajar bagi seluruh rakyat Malaysia untuk memahami jika budaya fitnah diteruskan, ia boleh membawa kepada sebuah negara yang huru-hara, menimbulkan pertumpahan darah, musnahnya harta benda serta tersebarnya kerosakan.

Jika tidak suka pada pemimpin atau parti, jangan undi mereka pada pilihan raya nanti. Itu cara ditetapkan undang-undang demokrasi diamalkan di negara kita. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan