Selasa, 3 Mac 2020

KESAN BAHAYA GILA MEROYAN DI MEDIA SOSIAL

Meroyan atau kemurungan postnatum adalah satu masalah yang biasa dialami oleh wanita selepas bersalin. Gila meroyan adalah gangguan perasaan dan jiwa yang serius.

Namun, dalam dunia media sosial yang semakin menjadi budaya kehidupan, perkataan meroyan telah dipelbagaikan maksudnya. Meroyan turut diertikan kepada sesiapa yang mengalami kekecewaan dan bertindak 'agrasif' di media sosial menyalahkan individu atau pihak lain akibat kegagalan atau tidak puas hati.

Golongan meroyan ini akan aktif di media sosial dengan hantaran yang menyalahkan dan memburuk-buruk pihak lain. Apa sahaja tindakan orang lain dianggap salah dan jijik. Sebaliknya, di pihak mereka semuanya baik dan betul.

Individu meroyan dalam kategori ini tidak dengar nasihat pihak lain. Semakin dinasihat dan ditenangkan, semakin agrasif mereka bertindak balas. Kalau dibiarkan mereka melakukan apa sahaja diingini, maka dikatakan itu tandanya orang lain salah dan diri dia betul.

Orang gila meroyan ini menjadi macam sesumpah. Satu ketika dikatakan sesuatu itu betul dan pada masa lain pula salah. Sikap taklid membabi buta menyebabkan mereka tidak lagi bersandarkan kepada kebenaran, tetapi dikuasai kegilaan yang melalut tanpa fakta. 

Orang gila meroyan di media sosial tidak takut dikenakan tindakan undang-undang. Memang itu sikap orang gila. Tidak kisahlah jenis gila apa sekalipun. 

Gila meroyan yang berlegar di alam maya melibatkan semua golongan. Tidak kira yang ternama dan terpelajar, gila meroyan boleh terjadi jika perasaan telah dikuasai oleh sikap amarah, dengki, tidak berpuas hati dan demi kepentingan peribadi.

Untuk mengelak terkena gila meroyan, hendaklah mengamalkan sikap reda, berfikiran terbuka, takut terlibat fitnah dan faham kesan buruk mengumpat.

Mudah kata, untuk mengelak gila meroyan amat penting berpegang kepada konsep takwa iaitu melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang oleh Allah.

Gambar - sekadar hiasan 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan