Selasa, 28 November 2023

SEJARAH NAMA CHE WOK HOTEL, KOTA BHARU, KELANTAN

 
Che Wok Hotel adalah sebuah hotel terletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu, di Jalan Padang Garong. Nama Che Wok Hotel diambil sempena nama pemilik asal tapak di mana hotel itu beroperasi sekarang.

Che Wok merupakan seorang wanita Kelantan yang sipatnya seperti kebanyak wanita Kelantan lain yang berminat dalam bidang perniagaan. Beliau dilahirkan di Pasir Puteh, sebuah daerah yang bersempadan dengan negeri Terengganu. Tanpa sebarang pendidikan formal, beliau memulakan perniagaan pakaian tradisional untuk wanita dan lelaki.

Selepas berkahwin dan melahirkan anak, perniagaannya berkembang maju dan mendapat untung yang agak baik. Hasil keuntungan itu beliau membeli sebidang tanah di tengah-tengah bandar, Kota Bharu.  

Di tapak tanah yang dibeli itu, beliau membina rumahnya dan tinggal untuk meneruskan perniagaannya. Apabila bandar ini berkembang menjadi pemodenan, pada tahun 1970-an kerajaan negeri memutuskan untuk membina bangunan yang dapat memenuhi permintaan bangunan moden pada ketika itu di tapak tanah miliknya.  

Selepas rundingan, sejumlah pampasan telah dibayar oleh kerajaan. Wang pampasan itu sebahagiannya digunakan untuk membeli sebuah rumah selebihnya digunakan untuk membina bangunan yang menempatkan hotel ketika ini.

Bagaimanapun, pada awal pembinaan bangunan tersebut, ia bukan dijadikan hotel. Ia dalam bentuk rumah kedai. Proses ubah suai menjadi hotel seperti hari ini hanya dilakukan sekitar tahun 2018. Ia mula beroperasi sekitar tahun 2020 dan terus mendapat sambutan daripada pengunjung.

Kedudukannya yang hampir dengan pusat perniagaan tumpuan di Kota Bharu seperti Kampung Kraf Tangan, Pasar Siti Khadijah, Bazar Siti Khadijah dan tempat tumpuan lain menjadikan ia pilihan paling sesuai kepada pelancong yang melawat Kelantan sambil membeli belah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan