Ahad, 29 Disember 2024

PENENTANGAN TERHADAP ISLAM

 
Islam ditentang dan dimusuhi, sedangkan hakikatnya Islam adalah penyelamat, bukan pengganas seperti yang disalah lapor oleh musuhnya yang hasad dengki terhadap Islam.
 
Penentangan terhadap Islam tidak berprinsipkan kebenaran. Ia berpunca hasad dengki terhadap kejayaan Islam. Sesungguhnya perjuangan itu adalah sia-sia.
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Ali Imran, ayat 85)
 
Sesungguhnya, kesesatan manusia adalah hasil usaha iblis dan sikap manusia itu sendiri yang jiwanya kotor. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Iblis menjawab, ‘Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka (manusia) semuanya. Kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis (dibersihkan daripada sebarang penderhakaan dan penyelewengan) antara mereka.’ (Surah Sad, ayat 82–83)
 
Usaha musuh Islam tidak pernah padam sehinggalah umat Islam hancur sepenuhnya. Mereka berusaha untuk mengajak penganut Islam meninggalkan Islam dan menjadi penghuni neraka.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) memesongkan kamu daripada agamamu (Islam kepada kekafiran), seandainya mereka mampu melakukannya. Sesiapa yang murtad antara kamu daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni Neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 217)
 
Snouck Hurgronje, seorang orientalis Belanda yang terkenal pernah membuat kenyataan terbuka tentang bahaya politik Islam: “Tidak berbahaya sekiranya dibiarkan umat Islam beribadat sahaja, namun sangat berbahaya jika mereka berpolitik kembali semula bagi menegakkan kerajaannya. Tidak berbahaya jika ulama hanya mengajar agama sahaja tanpa mengajar tentang politik, namun sangat berbahaya jika membawa pendekatan untuk kembali semula kepada pemerintahan khilafah (politik Islam).”
 
Rancangan ini dilakukan sejak zaman penjajahan sehingga selepas kemerdekaan yang juga dirancang oleh penjajah. Senjata paling berbisa ialah menyebarkan fahaman sekularisme yang memisahkan urusan kehidupan dunia daripada Islam melalui pentadbiran dan jentera kerajaan.
 
Malah, di kalangan pemimpin politik Islam turut ditanam dengan perasaan memusuhi sesama sendiri dan sanggup bersama-sama dengan musuh yang dijadikan kawan demi untuk mendapat kekuasaan.
 
Apabila berkuasa, mereka bukan mengambil peluang untuk memperkuatkan Islam, tetapi lebih kepada untuk memperkuatkan kedudukan politik masing-masing sehingga lupa apa yang diperjuangkan selama sebelum berkuasa.

Gambar - Sekadar hiasan - ikan tengalan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan