Ahad, 18 Disember 2016

Cedera akibat mercun buatan sendiri

Mercun buatan sendiri meletup mencederakan sainstis.  Kanak-kanak peringkat umur pertengahan banyak menjadi ‘pakar’ bahan letupan. Mereka menggunakan minyak goeslin dan karbaid untuk menghasilkan bunyi yang kuat hasil pembakaran dalam tong, batang besi maupun buluh. 

Tidak kurang juga yang ingin tingkatkan kuasa letupan dan bunyi mercun dengan cara di masuk ke dalam batang besi atau bahan lain. Belerang daripada mercun atau bunga api disatukan dan dimampatkan untuk menghasilkan letupan yang lebih kuat.   

Semangat ‘sainstis’ dan berani ini ternyata tidak bertempat. Semangat itu perlu disalurkan pada tempat yang sepatutnya. Kita mengharapkan lebih ramai pelajar yang berjiwa sainstis, tetapi bukan melalui kajian dan praktikal berkaitan mercun. 

Kebanyak kes kecelakaan disebabkan perbuatan mengubah suai mercun atau ‘meriam’ buatan sendiri. Kes begini biasanya melibatkan beberapa orang mangsa disebabkan kanak-kanak bermain secara berkumpulan atau sebagai penonton.

Dengan kata lain, ibu bapa tidak harus berpuas hati hanya kerana anak tidak menjadi ‘pemain’ mercun. Tetapi, juga mesti menjauhkan diri daripada sebarang tempat kanak-kanak bermain mercun. Jangan biarkan mereka menjadi 'penumpang' kecelakaan akibat perbuatan orang lain.
  
Kanak-kanak tidak mengerti tentang kecelekaan. Apa yang mereka inginkan ialah kegembiraan dan mencuba pengalaman baru. Di sinilah peranan ibu bapa dan orang dewasa memperjelaskan kepada kanak-kanak tentang bahaya akibat perbuatan itu. 

Sikap ibu bapa dan orang dewasa yang turut bermain mercun amat memalukan. Mereka yang lebih-lebih berbanding kanak-kanak. Perbuatan itu tentunya ditiru pula oleh kanak-kanak.    

Dalam situasi itu tidak mungkin kita dapat mengatakan kepada kanak-kanak bahawa bermain mercun berbahaya. Mereka sendiri melihat orang dewasa bermain mercun, jadi apa pula salahnya mereka turut bermain. 

Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 memperuntukkan undang-undang sesiapa yang bersalah mengilang, memiliki atau mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Mereka yang menyimpan mercun juga boleh didakwa di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan atau memiliki barangan larangan. Jika sabit kesalahan, pihak yang terlibat boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan itu atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan