Jumaat, 20 Januari 2023

RAWATAN DIALISIS PERITONEAL DILAKUKAN DI RUMAH

 
Rawatan dialisis dilakukan untuk pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang kronik atau sakit buah pinggang pada tahap akhir. Ada dua jenis rawatan dialisis yang sering dilakukan iaitu hemodialisis dan dialisis peritoneal.
 
Rawatan hemodialisis dilakukan di pusat dialisis terpilih dan dipantau doktor. Rawatan ini biasanya dilakukan tiga kali seminggu selama empat jam.
 
Bagi dialisis peritoneal pula, ia dilakukan dengan memasukkan satu tiub kateter ke dalam abdomen pesakit. Sejenis cecair dimasukkan melalui tiub kateter ke dalam abdomen dan selepas beberapa jam cecair ini akan bertindak menarik keluar bahan kumuh daripada darah dan disalurkan keluar untuk dibuang.
 
Cecair yang baharu akan dimasukkan semula bagi pusingan rawatan seterusnya. Rawatan dialisis peritoneal ini boleh dilakukan dengan selesa di rumah pesakit sebanyak empat hingga enam pusingan rawatan sehari.
 
Dalam dialisis ini, darah dicuci di dalam badan pesakit sendiri. Doktor akan melakukan pembedahan dan meletakkan tiub plastik yang dikenali sebagai kateter di dalam
perut untuk membuat laluan.
 
Ketika rawatan, bahagian perut (kaviti peritoneal) secara perlahan akan dipenuhi dengan dialisat (cecair yang perlu ditapis) melalui kateter. Darah akan kekal di dalam arteri dan urat di sepanjang kaviti peritoneal manakala lebihan cecair dan bahan buangan akan dikeluarkan dari dalam darah ke dialisat.
 
Meskipun nampak ringkas dan lebih menyenangkan, namun dialisis peritoneal kurang popular di Malaysia disebabkan pesakit kurang keyakinan melakukannya di rumah. Rawatan juga bergantung kepada kesesuaian fizikal pesakit dan perlu dilakukan setiap hari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan