Rawatan dialisis dilakukan untuk pesakit
yang mengalami kegagalan buah pinggang kronik atau sakit buah pinggang pada
tahap akhir.
Dialisis adalah proses mencuci darah untuk
membersihkan tubuh daripada bahan buangan berbahaya dalam aliran darah. Bagi
manusia normal yang mempunyai buah pinggang yang sihat, kebiasaannya pencucian
darah dijalankan secara semula jadi oleh organ penting ini.
Namun apabila buah pinggang berhenti
‘bekerja’, proses dialisis terpaksa dilakukan untuk menggantikan fungsi buah
pinggang. Rawatan dialisis mengambil alih tugas buah pinggang yang rosak,
membantu pengeluaran lebihan air serta bahan kumuh dalam darah dan mengimbangi
elektrolit badan.
Ini adalah salah satu rawatan pilihan di
samping pembedahan pemindahan buah pinggang bagi pesakit yang mengalami
kegagalan buah pinggang kronik.
Dialisis hanyalah sebagai menggantikan
kerja yang sepatutnya dilakukan buah pinggang yang normal tetapi ia tidak
bertujuan untuk menyembuhkan atau memperbaiki kerosakan buah pinggang.
Pesakit mungkin memerlukan rawatan dialisis
untuk seumur hidup melainkan pemindahan buah pinggang dilakukan.
Dalam rawatan hemodialisis, pesakit perlu
menjalani prosedur apabila dua jarum dicucuk pada lengan pesakit untuk
mengalirkan darah kepada satu alat penapis iaitu ‘dializer’ yang berfungsi
sebagai buah pinggang tiruan bagi menapis keluar bahan kumuhan serta air
berlebihan.
Darah yang bersih disalurkan kembali ke
dalam badan pesakit. Rawatan ini biasanya dilakukan tiga kali seminggu selama
empat jam.
Rawatan hemodialisis dilakukan di pusat
dialisis terpilih dan dipantau doktor. Ia tidak menyakitkan namun memberikan
rasa kurang selesa bagi yang baharu pertama kali melaluinya.
Masalah ini akan hilang selepas beberapa
kali rawatan. Mereka juga boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa
termasuk bekerja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan