Hari ini 3 Syawal 1444 bersamaan 24 April 2023. Alhamdulillah. Mek sudah buka mata. Sudah ingin menyatakan sesuatu kepada sesiapa yang berada di sebelahnya. Namun suara mek masih tidak keluar dengan jelas disebabkan masih ada alat bantuan pernafasan di mulutnya.
Mek juga mengenali orang datang melawatnya. Semua itu dikira tanda perkembangan positif keadaan kesihatan mek sejak menerima rawatan bermula di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada 16 April 2023.
Ketika berada di Unit Kecemasan dan Trauma, maklumat awal dari doktor menyatakan mek mengalami tekanan darah tinggi sehingga 240/130. Tahap gula dalam darah melebihi bacaan 30 dan mungkin juga ada lebihan uria dalam dalam darah. Paling merungsingkan apabila tahap oksigen dalam darah hanya 82 peratus.
Doktor terus buat imbasan pada bahagian otak. Alhamdulillah, tidak berlaku pendarahan di bahagian otak. Jika berlaku, pembedahan segera akan dilakukan. Namun, melalui imbasan tersebut dapat dikesan sudah ada sel otak yang mati. Diharapkan tidak akan merebak dan akan kembali pulih.
Memandangkan keadaan mek yang dianggap berdepan risiko “serangan” tertentu, maka pihak doktor mengambil keputusan untuk menidurkan dan menggunakan alat bantuan pernafasan untuk mek.
Mek ditidurkan selama lebih 190 jam atau seminggu. Insya-Allah keadaannya akan semakin baik.
Tentang berapa hari lagi mek akan menjadi penghuni di HUSM, bergantung kepada berapa cepat mek boleh kembali pulih. Semoga mek tabah dan kuat untuk mengharungi tempoh rawatan di HUSM sehingga dibenarkan keluar.
Baca juga:
18 April – Tidak raya pun tidak mengapa asal mek kembali sembuh
19 April – Anak cucu tunggu mek balik raya
20 April – Belum pasti hari mek akan sedar
21 April – Persiapan raya ikut pesan mek
22 April – Serbu Wad 4 Timur Hadapan
23 April – Mak lawat mek
24 April – Selepas seminggu ditidurkan mek sudah buka mata
25 April – Cara menjaga pesakit kronik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan