30 Ramadan 1444 bersamaan 21 April 2023.
Asalnya hari ini banyak orang menyangka akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor
Besar Raja-raja sebagai 1 Syawal. Ini kerana heboh sebelum ini ada badan
berkaitan astronomi di luar negara menjangkakan 1 Syawal akan jatuh pada 21
April.
Apapun tentang hari ini, fakta yang ambo
kira adalah hari ini sudah lima hari mek ambo (ibu saya) dalam keadaan tidak
sedarkar diri di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Ketika dihantar ke Unit Kecemasan dan
Trauma HUSM pada 16 April, mek masih sedar dan memberi respon kepada
pertanyaan. Masih boleh duduk tegap di bahagian tempat duduk belakang kereta. Kiranya pada
anggapan ambo keadaan mek tidak kritikal.
Namun, setelah dibuat pemeriksaan oleh sekumpulan doktor, maklumat
awal dari doktor menyatakan mek mengalami tekanan darah tinggi sehingga
240/130. Tahap gula dalam darah melebihi bacaan 30 dan mungkin juga ada lebihan
uria dalam dalam darah. Paling merungsingkan apabila tahap oksigen dalam darah
hanya 82 peratus.
Doktor terus buat imbasan pada
bahagian otak. Alhamdulillah, tidak berlaku pendarahan di bahagian otak. Jika
berlaku, pembedahan segera akan dilakukan. Namun, melalui imbasan tersebut
dapat dikesan sudah ada sel otak yang mati. Diharapkan tidak akan merebak dan
akan kembali pulih.
Memandangkan keadaan mek yang
dianggap berdepan risiko “serangan” tertentu, maka pihak doktor mengambil
keputusan untuk menidurkan dan menggunakan alat bantuan pernafasan untuk mek.
Pada malam sebelum mek dibawa ke HUSM, mek
dalam keadaan tidak selesa. Rasa panas biarpun telah dipasangkan hawa dingin
paling sejuk dan ditambah pula dengan kipas siling. Mek tidak tidur lena pada
malam itu.
Kalau mek dibawa awal ke HUSM, mungkin
keadaan tidak seteruk ini. Ya... siapa sangka keadaan ini akan berlaku. Pada
hari sebelumnya mek dalam keadaan sihat. Rancak dan lama berbual melalui
telefon dengan satu-satunya adik mek iaitu Patimah Yusuf. Suara mek kuat sehingga
dapat didengar di luar rumah.
Mek berbual mengenai cadangan hendak tempah
ketupat untuk hari raya. Turut juga disentuh mengenai perkara-perkara lain. Memang
kalau mereka berbual pasti lama. Banyak perkara dibualkan. Mek hanya dua
beradik.
Siapa sangka dalam keadaan “sihat” tiba-tiba
mendengar perkhabaran mek ditidurkan. Itulah sebenarnya kejadian yang sering
melanda mereka yang mempunyai penyakit kritikal serangkai. Disebabkan kencing
manis merebak kepada kegagalan buah pinggang, darah tinggi dan jantung.
Pada hari ini, biarpun mek berada di HUSM
dan tidak sedar diri, pesan mek agar bersihkan kawasan rumah telah dilakukan
cucu-cucu mek. Nasi dagang dan ketupat yang mek hendak tetap akan disediakan pada
pagi 1 Syawal, biarpun mek sendiri tidak dapat menikmatinya.
Dan, tidak kiralah apapun tarikh, hari dan
masa, 16 anak, 16 menantu dan 80 cucu sentiasa mendoakan agar mek kembali sedar
dan sembuh. Amin.
Baca juga:
18 April – Tidak raya pun tidak mengapa asal mek kembali sembuh
19 April – Anak cucu tunggu mek balik raya
20 April – Belum pasti hari mek akan sedar
21 April – Persiapan raya ikut pesan mek
22 April – Serbu Wad 4 Timur Hadapan
23 April – Mak lawat mek
24 April – Selepas seminggu ditidurkan mek sudah buka mata
25 April – Cara menjaga pesakit kronik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan