Selasa, 18 April 2023

HARAP MEK KEMBALI SEMBUH

  
Seperti biasa, setiap Ahad, Selasa dan Khamis ambo (saya) akan menghantar mek (ibu) ke pusat hemodialisis (proses membersihkan darah pesakit buah pinggang dengan menggunakan mesin khas). Empat jam kemudian ambo akan pergi ambil semula.
 
Itulah rutin ambo atau lebih tepat rutin yang perlu dilalui individu yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang. Setiap kali sesi rawatan mengambil masa kira-kira empat jam. Rawatan itu perlu dilalui sepanjang hayat kecuali dibuat proses pemindahan buah pinggang.
 
Pada 16 April 2023, seperti biasa kira-kira pukul 9.30 pagi ambo bersiap hendak pergi ambil mek (ambo tinggal berasingan). Sebelum sempat masuk kereta, ambo terima panggilan daripada adik yang memberitahu keadaan kesihatan mek tidak stabil.
 
Dengan tenang dan berdoa agar keadaan kesihatan mek tidak tidak serius, ambo terus memandu menuju rumah mek yang mengambil masa kira-kira 15 minit.
 
Sampai sahaja, ambo terus masuk ke bilik mek. Tengok pada fizikal (boleh duduk) jangkaan ambo mek tidak serius sangat. Tetapi sesuatu agak mengejut apabila fungsi otak dan mata sudah merosot. Mek tidak nampak ambo biarpun berada di hadapanya. Mek beberapa kali bertanya “mano Lokman”. Apa yang boleh ambo lakukan ialah pegang badanya dan memberitahu ambo berada di hadapnya.
 
Satu langkah segera perlu dilakukan ialah membawa mek ke hospital. Sebagai langkah agar mek terus “sedar” dan fungsi otak terus berfungsi biarpun pada tahap kurang daripada biasa, ambo memberi tahu mek bahawa dia akan dibawa ke hospital. Diberitahu kepada mek bahawa dia perlu kembali sihat kerana anak, menantu dan cucu akan balik berhari raya dengannya.
 
Seorang ibu memang mudah memberi respon apa-apa hal berkaitan anak. Seperti satu tenaga baharu, mek menjawab dengan “bersemangat” memberitahu hendak ke hospital.
 
Malah ketika hendak dipakaikan baju, mek seakan-akan bersemangat untuk memakainya sehingga tergopoh-gopoh tidak menyempat menyarung baju sehingga sedikit bermasalah. Mek juga menyuruh agar dicarikan dan dipakaikan kain tudung. Berulang-ulang kali minta dicarikan kain tudung seperti tidak sabar untuk ke hospital.
 
Terima kasih kepada adik ipar, Khairi yang banyak membantu menjaga mek selama ini.
 
Ambo bergerak memandu ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian yang terletak kira-kira lima kilometer. Biarpun jaraknya dikira dekat, tetapi dirasakan agak lambat, tambah-tambah lagi setiap sampai di lampu isyarat, lampu berwarna merah.
 
Ambo ditemani adik ipar, Dr Hassan (Phd). Biarpun menggunakan gelaran Dr, tetapi bukan doktor perubatan. Untuk mengekalkan tahap kesedaran mek, ambo suruh Hassan berbual-bual dengan mek. Bangkitkan semangat berjuang untuk terus hidup.
 
Sebenarnya, mek sejak beberapa hari sebelum itu sering menyebut tentang menu untuk hari raya menyambut anak, menantu dan cucu balik. Menu paling mek ingat ialah ketupat tiga bucu.
 
Kebetulan ketupat itu akan dibuat oleh Hassan. Jadi, ambo “tanya” Hassan berapa kilogram hendak buat? Dijawabnya tiga kilogram dan daun palas pun telah ada. Katanya, dia buat kerana mek suruh buat untuk anak-anak (disebut beberapa nama). Dan, mek seperti memberi tindak balas kepada perbualan itu.
 
Itulah naluri ibu. Ketika dia sudah hampir lupa tentang dirinya sendiri, apabila disebut tentang anak-anak, dia akan memberi maklum balas. Ingatannya kembali dicas. Semangatnya seakan-akan kembali kuat.
 
Setelah menempuh perjalanan yang dirasakan amat lama, kereta ambo berhenti betul-betul di hadapan pintu Unit Kecemasan dan Trauma HUSM. Hasan yang membawa mek ke dalam, sedangkan ambo terus mencari tempat letak kereta.
 
Maklumat awal dari doktor menyatakan mek mengalami tekanan darah tinggi sehingga 240/130. Tahap gula dalam darah melebihi bacaan 30 dan mungkin juga ada lebihan uria dalam dalam darah. Paling merungsingkan apabila tahap oksigen dalam darah hanya 82 peratus.
 
Doktor terus buat imbasan pada bahagian otak. Alhamdulillah, tidak berlaku pendarahan di bahagian otak. Jika berlaku, pembedahan segera akan dilakukan. Namun, melalui imbasan tersebut dapat dikesan sudah ada sel otak yang mati. Diharapkan tidak akan merebak dan akan kembali pulih.
 
Memandangkan keadaan mek yang dianggap berdepan risiko “serangan” tertentu, maka pihak doktor mengambil keputusan untuk menidurkan dan menggunakan alat bantuan pernafasan untuk mek.
 
Sehingga tulisan ini dicatatkan, mek sudah lebih 58 jam tidak sedarkan diri.
 
Ketika ambo melawat mek yang dalam keadaan tidak sedar itu, hanya satu doa yang dipanjatkan kepada Ilahi agar mek kembali sedar dan dapat pulang ke rumah. Tidak kisahlah berapa hari perlu menanti.. Tidak kisahlah jika tidak sempat sambut hari raya yang akan disambut dua atau tiga hari lagi.
 
Dan, ambo berharap masih dapat menjalankan tugas rutin ambo pada setiap Ahad, Selasa dan Khamis selepas ini. 
 
16 anak, 16 menantu dan 80 cucu mendoakan mek kembali sembuh. Hanya kepada Allah juga kami memohon dan bergantung harap. Amin.

Baca juga:

18 April – Tidak raya pun tidak mengapa asal mek kembali sembuh  

19 April – Anak cucu tunggu mek balik raya

20 April – Belum pasti hari mek akan sedar

21 April – Persiapan raya ikut pesan mek

22 April – Serbu Wad 4 Timur Hadapan  

23 April – Mak lawat mek

24 April – Selepas seminggu ditidurkan mek sudah buka mata

25 April – Cara menjaga pesakit kronik

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan