Ambo (saya) masih ada mak (nenek) berusia 95
tahun. Mak masih sihat kecuali ada masalah pendengaran. Mak masih boleh berdiri
untuk menunaikan solat. Bukan setakat sembahyang wajib lima kali sehari, bahkan
tidak tinggal solat tahajud dan duha. Daya ingatan pun dikira masih kuat
berbanding dengan usianya. Mak masih boleh membaca al-Quran dangan menggunakan
kaca mata.
Disebabkan masalah komunikasi akibat kurang
pendengaran, kami cucu-cucunya kurang untuk memaklumkan tentang kesihatan mek
(ibu ambo). Kalau diberitahu, maka tidak faham (kerana tidak dengar) yang
kadang-kadang boleh menimbulkan salah faham yang berterusan. Sehingga pernah
dia kata kami menipunya apabila apa yang kami beritahu tidak sama apa yang dia
dengar dan faham.
Tentang keadaan mek yang kritikal dan
terpaksa ditidurkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,
adik ambo yang bertandang ke rumah ibu saudara ambo (tempat mak tinggal) “terperangkap”
dengan soal mak yang bertanya tentang kesihatan mek (mak tahu keadaan kesihatan
mek yang perlu melalui rawatan hemodialisis sentiasa tidak baik) terpaksa
menjelaskan keadaan semasa mek.
Biarpun dijelaskan dengan macam-macam cara,
mak tidak faham tentang keadaan mek yang ditidurkandi HUSM. Akhirnya adik ambo
menunjukkan gambar-gambar di telefon pintar tentang keadaan mek.
Menitis air mata mak melihat keadaan anak
sulungnya itu. Dia beritahu hendak pergi melihat mek di hospital. Adik ambo janji
akan bawa ke hospital esok (1 Syawal) kerana waktu itu telah malam.
Esoknya ambo pergi ke rumah ibu saudara tempat
tinggal mak. Ketika itu mak sedang tidur. Apabila ambo kejutkan mak, dia tersedar
dan seperti ingin bertanya sesuatu tentang mek dan ingin segera melawat mek
seperti dijanjikan adik ambo.
Ambo beritahu Khairul (adik ambo) yang akan
datang jemput dia untuk melawat mek di hospital. Mungkin dia tidak tidak
mendangar dan tidak faham apa yang ambo katakan.
Petang itu seperti dijanjikan, adik ambo
mengambilnya untuk melawat mek. Apabila berada di sisi mek yang tidak sedarkan
diri dan dihubungkan dengan beberapa tiub, termasuk alat bantuan pernafasan,
mata mak berkaca. Menitis air matanya. Ditatap puas-puas wajah mek.
Selepas melawat mek, mak tidak dihantar ke
rumah emak saudara, sebaliknya dibawa ke rumah mek yang ada beberapa orang
cucunya. Mak dijanjikan akan dibawa melawat mek lagi pada keesokkannya.
2 Syawal, awal pagi lagi mak sudah beritahu
hendak melawat mek di hsopital. Dia tidak mahu ke tempat lain. Hanya pergi
melawat mek sahaja. Dia tunggu cucu akan membawanya.
Pukul empat petang mak sudah bertanya sudah
masuk Asyar ke? Dia hendak segera sembahayang dan ingin bersiap untuk melawat
mek.
Hari ini kali kedua mak dapat melawat mek.
Hari ini juga mek sudah mula membuka mata dan bahagian kaki sentiasa
digerakkan. Mak melihat keadaan itu. Mak tidak sabar untuk bercakap dengan mek.
Mak yang duduk di atas kerusi roda untuk
memudahkan pergerakan di hospital, bangun untuk mengatakan sesuatu ke telinga
mek. Mek memberi tindak balas melalui mata. Mulut mek seakan ingin memberitahu
sesuatu namun tiada suara yang keluar.
Apabila mak dibawa keluar dari wad yang
menempatkan mek, mak terus memberitahu tentang perkembangan mek kepada cucu dan
cicitnya yang menunggu di hadapan pintu. Katanya, kelmarin mek tidak buka mata,
tetapi hari ini buka doh. Diberitahu juga yang bahagian kaki mek sudah digerakkan.
Kami akan bawa mak untuk melawat mek
lagi.....
Baca juga:
18 April – Tidak raya pun tidak mengapa asal mek kembali sembuh
19 April – Anak cucu tunggu mek balik raya
20 April – Belum pasti hari mek akan sedar
21 April – Persiapan raya ikut pesan mek
22 April – Serbu Wad 4 Timur Hadapan
23 April – Mak lawat mek
24 April – Selepas seminggu ditidurkan mek sudah buka mata
25 April – Cara menjaga pesakit kronik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan