Sabtu, 22 April 2023

SAMBUT AIDILFITRI DI WAD 4 TIMUR HUSM

 
1 Syawal 1444 H bersamaan 22 April 2023 M, mek (ibu) ambo (saya) masih tidak sedarkan diri di Wad 4 Timur Hadapan (W4TH) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak ditidurkan pada 16 April lalu.
 
Seramai 13 anak, 13 menantu dan 40 cucu berkunjung ke HUSM hari ini. Memandang ada peraturan melarang kanak-kanak masuk kawasan bangunan wad, maka laluan masuk utama telah bertukar menjadi taman kanak-kanak.
 
Muaz kata dia sayang opah, tetapi tidak boleh pergi tengok. Dia tunggu di situ sahaja.
 
Pelawat ke W4TH hanya dibenarkan masuk seorang sahaja untuk setiap pesakit pada satu-satu masa. Ada pelekat tanda nombor katil pesakit disediakan di pintu hadapan.
 
Memandangkan kami datang ramai, masa untuk setiap orang melawat mek sekajap sahaja. Keluar dan kemudian digantikan dengan yang lain. Begitulah bergilir-gilir. Kami tunggu beramai-ramai di depan pintu. Tidak tahan berdiri, kami duduk sahaja di atas simen.
 
Kalau hendak tengok lama atau terus hendak tengok tanpa tunggu giliran, pergi sahaja ke bahagian tepi tingkap. Melalui arah sana dapat melihat dalam jarak kira-kira 10 meter. Sudah cukup jelas untuk melihat.
 
Berdasarkan pemerhatian, keadaan mek semakin baik biarpun masih belum sedarkan diri. Seperti memberi tindak balas jika dipanggil namanya. Kata doktor, tunggu dua atau tiga hari lagi untuk menentukan “langkah selanjutkan”. Insya-Allah ada berita baik.
 

Baca juga:

18 April – Tidak raya pun tidak mengapa asal mek kembali sembuh  

19 April – Anak cucu tunggu mek balik raya

20 April – Belum pasti hari mek akan sedar

21 April – Persiapan raya ikut pesan mek

22 April – Serbu Wad 4 Timur Hadapan  

23 April – Mak lawat mek

24 April – Selepas seminggu ditidurkan mek sudah buka mata

25 April – Cara menjaga pesakit kronik

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan