Rabu, 19 April 2023

ANAK CUCU TUNGGU MEK BALIK RAYA

 
Biasanya ibu bapa akan menunggu anak cucu balik berhari raya. Nampaknya, keadaan sebaliknya berlaku kepada keluarga ambo (saya). Tahun ini kami 16 adik beradik, 16 menantu dan 80 cucu pula yang menanti mek (ibu saya) balik.
 
Sejak 16 April 2023 mek berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Mek sudah biasa tinggal di HUSM. Pernah sekali mek duduk di dalam Wad 7 Utara hampir sebulan. Mek juga pernah berada di Wad CCU selama seminggu.
 
Kali ini mek berada di HUSM lagi. Wad 4 Timur Hadapan. Wad yang dikhususkan kepada pesakit kritikal. Wad yang tidak membenarkan waris menunggu. Hanya boleh melawat pada waktu ditetapkan. Itupun hanya seorang sahaja dibenarkan masuk pada satu-satu masa.
 
Jadi, tidak boleh lama berada di sisi mek. Kena keluar cepat agar anak, menantu dan cucu lain pula mengambil giliran. Kalau hendak tengok mek lebih lama, kenalah berada di bahagian luar yang dipisahkan oleh cermin.
 
Kami datang hendak melihat mek, tetapi tidak boleh berbual-bual dengan mek. Sebaik tiba di Unit Kecemasan dan Trauma HUSM pada kira-kira 1015 pagi 16 April 2023, keadaan mek tidak stabil dan sebagai langkah mengelak ‘serangan’ yang boleh membahayakan nyawa mek. lalu mek ditidurkan.
 
Sehingga sekarang sudah 84 jam mek tidak sedarkan diri. Selama itulah juga mek dibantu oleh alat bantuan pernafasan untuk oksigen terus disalurkan ke dalam paru-paru.
 
Petang esok (20 April 2023) akan diadakan pencerapan melihat anak bulan. Sama ada Aidilfitri jatuh pada Jumaat atau Sabtu, kami tetap akan ke HUSM melawat mek, tidak kira mek sudah sedar atau tidak.
 
16 anak, 16 menantu dan 80 cucu menunggu mek balik. Kepada Allah jua kami pohon dan berserah.

Baca juga:

18 April – Tidak raya pun tidak mengapa asal mek kembali sembuh  

19 April – Anak cucu tunggu mek balik raya

20 April – Belum pasti hari mek akan sedar

21 April – Persiapan raya ikut pesan mek

22 April – Serbu Wad 4 Timur Hadapan  

23 April – Mak lawat mek

24 April – Selepas seminggu ditidurkan mek sudah buka mata

25 April – Cara menjaga pesakit kronik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan