Ahad, 18 Disember 2016

TETAP SETIA LEPAS DILUCUT JAWATAN

Dilucutkan jawatan ketika masih mampu berkhidmat dan tidak melakukan apa-apa kesalahan tentu sekali mendatangkan rasa tidak puashati individu dipecat dan penyokong atau orang yang simpati dengannya.

Namun, perkara ini tidak berlaku kepada Khalid al-Walid yang dipecat sebagai Panglima tentera oleh Saidina Umar al-Khattab. Jawatan itu diganti dengan Abu Ubaidah. Dia tidak kecewa dengan tindakan Umar.

Khalid tidak kecewa dengan tindakan Umar kerana beliau meyakini bahawa beliau pergi berperang bukan untuk habuan dunia, tetapi untuk habuan akhirat.  

Ketaatan Khalid terhadap khalifah adalah wajib dalam Islam selagi mana ia berlandaskan syariat Islam. Langsung tiada kepentingan dalam kedua-dua individu mulia di atas,  Umar dan Khalid mendapat sebahagian habuan dunia tetapi apa yang mereka harapkan adalah keredhaan dari Allah.

Khalid merupakan seorang tokoh hebat dalam medan peperangan dan telahpun dilantik sebagai Panglima Perang sebelum zaman pemerintahan Umar. Sememangnya kepercayaan masyarakat Islam pada waktu tersebut amat tinggi terhadap kebolehan dan kehebatan Khalid.

Namun apa yang memeranjatkan, setelah takhta khalifah diwariskan kepada Umar, beliau bertindak memecat Khalid dengan menggantikan Abu Ubaidah untuk jawatan tersebut.

Tindakan ini amat mengecewakan kebanyakan orang ramai dan menimbulkan perasaan tidak puas hati.  Walau bagaimanapun, Khalid menerima keputusan tersebut dengan tenang dan berterusan taat terhadap kepimpinan Umar.

Hikmah Umar menurunkan pangkat Khalid dan digantikan dengan Abu Ubaidah antaranya ialah agar ia mampu menyedarkan umat Islam bahawa penyerahan diri dalam setiap perkara walaupun dalam soal peperangan hanya kepada Allah.

Kebimbangan Umar terhadap umat Islam yang keterlaluan mengagung-agungkan Khalid menyebabkan beliau melucutkan jawatan Khalid.

Sementara itu mereka tertanya-tanya pula mengapa Khalifah Umar bertindak tidak adil kepada Khalid yang berjasa itu?

"Tidak! Aku memberhentikan Khalid bukan kerana tidak suka kepadanya. Juga bukan kerana dia tidak jujur. Bahkan aku kagum padanya. Tindakan yang aku ambil hanyalah untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kemenangan umat Islam selama ini hanyalah kerana pertolongan Allah. Bukan kerana kehebatan Khalid. Jangan sampai ada tanggapan bahawa kemenangan kita selama ini semata-mata kerana kehebatan Khalid bin Al-Walid sahaja…” kata Khalifah Umar.

Sekadar renungan, jagalah niat kita dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan kerana di situlah tali ukuran kepada segala perbuatan kita. 

Jika perbuatan kita bukan diniatkan kerana Allah, sia-sialah amalan kita. Tetapi jika ianya dilakukan hanya untuk mendapat keredhaan Allah SWT semata-mata, InsyaAllah pahalalah ganjarannya walaupun perbuatan kita itu hanya sebesar zarah.  

Dan ingatlah segala kejayaan kita datangnya daripada pertolongan Allah bukannya atas kehebatan kita. Ikhlaslah  dalam perjuangan agar kita tidak  mengharapkan  balasan dunia (seperti pangkat, harta dan pujian) yang hanyalah bersifat sementara. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bahawasanya segala amal perbuatan bergantung pada niat. Maka barang siapa yang hijrahnya menuju (keredhaan ) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu ke arah (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya itu kerana dunia (harta atau kemegahan dunia) atau kerana seorang wanita yang akan dikahwininya, maka hijrahnya itu ke arah yang ditujunya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan