Jumaat, 15 September 2017

LAILATULQADAR MALAM AGUNG


Malam Qadar atau Lailatulqadar berlaku pada sekali pada setiap Ramadan. Dalam menghayati pengertian al-Qadar itu sendiri, sebahagian ulama berpendapat bahawa ia bermaksud pengagungan.

Di sini dapat kita fahami bahawa lailatul qadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana telah diturunkan al-Quran pada malam berkenaan, turunnya malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan Allah SWT serta pada malam tersebutlah juga Allah SWT akan menganugerahkan keagungan dan kemuliaan kepada mereka yang melakukan ibadah pada malam tersebut.

Selain itu, al-Qadr juga membawa maksud penetapan. Oleh itu, lailatul qadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya.

Lebih istimewa lagi apabila malam lailatul qadar merupakan malam yang sengaja dirahsiakan oleh Allah SWT sebagai satu ujian kepada umat Islam dalam mencari dan meraih rahmat serta kasih sayang daripada-Nya.

Justeru bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan sentiasa istiqamah dalam melakukan ibadah sepanjang bulan Ramadhan, maka pastinya mereka tidak akan terlepas untuk menemui malam yang lebih mulia daripada seribu bulan ini.

Oleh yang demikian, bagi meraih pahala yang berlipat kali ganda daripada Allah SWT di penghujung Ramadhan, umat Islam disarankan agar terus melipatgandakan ibadah-ibadah sunat bagi mencari dan merebut malam lailatul qadar.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Carilah lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil daripada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan (hadis riwayat Muslim).

Dalam sabdanya yang lain, Baginda SAW juga ada menyebut yang bermaksud: "Carilah lailatul qadar pada 10 malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir (hadis riwayat Muslim).

Daripada kedua-dua hadis di atas dapat disimpulkan bahawa kita seharusnya melipatgandakan ibadah pada malam-malam yang ganjil bermula 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan.

Malah, dalam melewati sepuluh hari terakhir Ramadhan, Rasulullah SAW akan mencari lailatul qadar dan menyeru sahabat-sahabat Baginda agar turut serta mencarinya dengan menghidupkan malam-malam berkenaan dengan beribadah (qiamullail). 


Bahkan, baginda juga akan mengejutkan ahli keluarganya pada 10 malam terakhir Ramadhan dengan harapan supaya dapat memperoleh lailatul qadar yang penuh dengan keistimewaan dan keberkatan.

Para ulama berbeza pendapat sama ada Lailatulqadar berlaku pada malam genap atau malam ganjil daripada 10 malam terakhir itu.  

Menurut pendapat Imam Nawawi, memandangkan hadis mengenai Lailatulaqdar berselisih waktunya, ini menunjukkan bahawa malam berkenaan berpindah-pindah pada setiap tahun.

Waktu Lailatulqadar bermula selepas Maghrib hingga terbit fajar keesokkannya. Dalam masyarakat kita ada menyebut mengenai 'tanda' malam itu adalah Lailatulqadar.  

Ada yang mengatakan pada malam itu keadaannya sunyi, dingin berbanding hari-hari biasa, ada petanda pelik dan sebagainya. 

Bahkan, ada mengaitkan betapa agung Lailatulqadar hingga semua kejadian di muka bumi ini 'terpegun' dan berubah sifat biasanya.  Laut bergelora menjadi tenang, air menjadi tawar, air sungai berhenti mengalir, api tidak lagi membakar, pokok sujud dan sebagainya.

Itu semuanya hanya satu andaian, atau boleh dikaitkan dengan mitos yang tidak boleh dipertanggungjawabkan sahihnya, tidak masuk akal dan mengada-ada.  

Sedangkan hakikatnya tidak siapa tahu bilakah sebenarnya malam telah berlaku Lailatulqadar. 

Perlu diingatkan, jangan pula kita berlebih-lebih dalam membuat pengcaman Lailatulqadar sehingga ada yang melibatkan perkara khurafat. Pertingkatkan ibadat, bukannya mencari tanda-tanda Lailatulqadar. 

Kita tidak perlu mengetahui sama ada malam itu Lailatulqadar atau tidak.  Ibadat bulan Ramadan memberi ganjaran yang besar.  Biarlah kita tidak dapat tahu telah memperoleh Lailatulqadar, kerana apa yang penting ialah catatan pahala yang bakal diketahui di akhirat kelak.

Sebenarnya, lebih baik kita tidak mengetahui bila malam Lailatulqadar bagi mengelak kita menjadi angkuh dan malas beribadat kerana telah mendapat Lailatulqadar.  

Biarlah Lailatulqadar terus rahsia dan kita terus memburunya setiap tahun sepanjang kita masih berpeluang hidup pada bulan Ramadan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan