Isnin, 20 November 2017

REZEKI PERLU DICARI TIDAK DATANG SENDIRI

Pembangun ekonomi individu, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara berlaku atas kehendak dan izin Tuhan. Cuba kita teliti konsep "ar-Razzaq" iaitu satu daripada 99 nama atau gelaran Tuhan yang tercantik.

Ar-Razzaq bermaksud pemberi rezeki iaitu Tuhan yang maha pemurah sentiasa memberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya terutama hamba yang bergelar manusia. Jadi sekarang, bagaimanakah konsep ini diaplikasi dalam kehidupan seharian kita sebagai manusia.

Lazimnya dalam kehidupan seharian kita, kita mendapat rezeki melalui pekerjaan. Kita melakukan pekerjaan dan mendapat pulangan (rezeki) kewangan.

Dengan pulangan kewangan, kita berbelanja membeli pelbagai keperluan kehidupan seperti makanan, tempat tinggal, pakaian, kenderaan dan pelbagai keperluan lain yang relevan dengan kehidupan kita.

Bagi mereka yang berfikiran jauh dan tajam akan membuat persiapan menghadapi hari tua dan menyediakan tabungan untuk anak generasi yang tercinta. Melalui proses dan aktiviti-aktiviti kehidupan sebegini, kehidupan kita boleh dirancang dan tindakan yang wajar boleh diambil atau dilakukan untuk memperoleh kehidupan yang normal dan sempurna.

Bagaimanapun, senario kehidupan kita tidaklah selalunya normal dan sempurna seperti yang digambarkan di atas. Memang wujud liku-liku kesukaran atau gelombang dalam kehidupan seharian kita. Kita ada mendengar ungkapan seperti "asam garam hidup" untuk menggambarkan halangan yang perlu dihadapi oleh setiap manusia dalam menempuh proses kehidupan ini.

Begitu juga dengan ungkapan life struggle yang cuba menggambarkan usaha-usaha manusia yang berterusan untuk melangsungkan kehidupan ini. Untuk menerangkan hakikat ini, cuba kita ambil satu contoh fenomena yang terserlah di hadapan mata kita iaitu pengangguran di kalangan graduan.

Jadi apa pula perhubungan di antara fenomena yang sedang diperkatakan ini dengan sifat ar-Razzaq Tuhan? Adakah ini bermaksud rezeki yang diberikan Tuhan kepada makhluk-Nya tidak mencukupi?

Sekiranya mencukupi, mengapa terdapat orang yang tidak mendapat pekerjaan, lalu tidak bekerja untuk mendapatkan habuan demi untuk menyara kehidupan kendiri, tanggungan dan anak-pinak termasuk keluarga sendiri?

Rezeki Tuhan itu ada di mana-mana asalkan kita sanggup berusaha dan bekerja keras untuk mencarinya. Kekayaan berada di mana-mana.

Persoalan logik yang timbul ialah mengapa wujud fenomena graduan menganggur yang bergantung kepada ibu-bapa dan tidak berupaya langsung menyara diri sendiri, bahkan jauh sekali untuk membantu orang lain.

Ramai yang memperkatakan fenomena itu berlaku disebabkan oleh faktor-faktor antara lain terlalu memilih pekerjaan, pekerjaan tidak sesuai dengan bidang pengajian di universiti, tidak berinisiatif, masalah ekonomi dan sebagainya.

Jadinya, penyebab kepada pengangguran ialah aspek-aspek yang diperkatakan di atas dan bukannya tiada kedapatan rezeki. Memperhalusi hakikat ini, maka kita boleh sampai kepada kesimpulan bahawa memang wujud pekerjaan untuk kita berusaha mencarinya demi menyara hidup diri sendiri dan juga keluarga.

Cuba kita bentuk senario berikut. Katakan seorang individu mendapati kesukaran dalam usaha mencari kerja rezeki sedangkan orang lain sudah pun mendapatkannya.Jadi bagi orang lain, ini bukanlah satu kesukaran.  

Jadi, bagi individu berkenaan perlulah dia bermuhasabah dengan diri sendiri dalam mencari sebab mengapa orang lain boleh mendapatkan pekerjaan sedangkan dia tidak.

Apakah kekurangannya berbanding orang lain? Adakah kerana dia terlalu memilih pekerjaan dengan menumpukan kepada pekerjaan yang hanya bersesuaian dengan kelulusan yang dimiliki. Sekiranya jawapannya "ya", maka individu ini seharusnya menukar sikap untuk mengambil setiap peluang walaupun tidak setaraf dengan kelulusan akademiknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan