Sabtu, 20 Januari 2018

CARA TRADISIONAL TUAI PADI GUNA KETAM

Salah satu cara menuai padi secara tradisional ialah menggunakan ketam padi. Ketam itu ada macam-macam nama. Dalam dialek Kelantan dinamakan 'tamee' atau 'taman'.

Ketam padi banyak bentuk mengikut pembuat setempat. Namun, perkara asasnya ialah kayu yang pada bahagian hadapanya dilekatkan mata pisau.

Pada bahagian tengah ditebuk lubang untuk diletakkan kayu bulat sebesar ibu jari yang dijadikan tempat 'mengawal' ketam untuk memudahkan kerja semasa mengetam.

Ketam dipengang menggunakan sebelah tangan. Ia disepitkan di antara jari manis dan jari hantu.

Mata ketam akan didekatkan pada tangkai padi. Empat jari akan mencapai tangkai padi dan kemudian akan digenggam yang akan menarik tangkai padi mata ketam dan memotongnya.

Gabungan ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu memegang tangkai padi agar tidak jatuh yang kemudiannya akan 'dialih' ke tangan sebelah lagi untuk dikumpulkan.  

Ada juga cara ketika mata ketam diletakkan pada tangkai sebelum dipotong, satu tangan lagi terus memegang tangkai padi. Cara itu biasanya dilakukan oleh mereka yang masih belum mahir menggunakan ketam.

Tangkai padi yang telah dipotong itu akan dikumpul dan diikat menjadi satu 'gemar'.

Tuaian cara ini biasanya padi itu akan disimpan dengan tangkainya agar lebih tahan lama dan lambat rosak. 

Tuaian cara ini juga digunakan apabila buah padi tidak masak sekata. Jadi mudah untuk memilih hanya tangkai yang sudah masak sahaja dipotong.

Ada lagu lama yang ada bait kata tuai padi. Lagu Gurindam Jiwa menjadi OST filem Gurindam Jiwa.

GURINDAM JIWA
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Anak cina memasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Jati
Di dalam hati tidak ku lupa
Bagaikan rambut bersimpul mati

Batang selasih permainan budak
Daun selasih dimakan kuda
Bercerai kasih talak tiada
Seribu tahun kembali juga

Burung merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman
Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan

Kalau tuan mudik ke hulu
Carikan saya bunga kemboja
Kalau tuan mati dahulu
Nantikan saya di pintu syurga

Tiada ulasan:

Catat Ulasan