Isnin, 24 Ogos 2020

TAKWIM HIJRI TANDA SYIAR ISLAM

Takwim Hijri yang diguna pakai pada hari ini adalah salah satu syiar Islam kerana penggunaannya berkait rapat dengan pelaksanaan ibadah. Manakala, takwim Masihi masih diamalkan khususnya dalam aktiviti harian.

Umat Islam menunaikan ibadah puasa wajib tatkala tibanya Ramadan. Hari raya Aidilfitri disambut tanggal 1 Syawal, manakala hari raya Aidiladha pada 10 Zulhijah setiap tahun. Ibadah haji pula ditunaikan pada bulan-bulan haji bermula seawal bulan Syawal dengan kemuncaknya pada Zulhijah.

Jelaslah pelaksanaan ibadah khusus mahupun sunat dalam Islam melibatkan ketetapan tarikh dalam takwim Hijri.

Takwim Hijri bermula dengan peristiwa Hijrah Rasulullah dari Makkah ke Madinah. Walau bagaimanapun, bukanlah bermakna Rasulullah berhijrah dari Makkah dan sampai ke Madinah pada tanggal 1 Muharam.

Kitab Al-Rahiq al-Makhtum karya Sheikh Safiyyur Rahman al-Mubarakfuri  menyatakan peristiwa hijrah berlaku pada Rabiul Awwal. Justeru perkiraan tahun dalam takwim Hijri adalah mengikut peristiwa hijrah manakala bulan pertama pula adalah Muharam.

Usaha mewujudkan takwim Hijri dilakukan Saidina Umar al-Khattab. Beliau memilih Muharam sebagai bulan pertama dalam takwim Hijri. Sebenarnya semua 12 bulan dalam takwim Hijri sediakala digunakan sejak sebelum kedatangan Islam.

Ketika Rasulullah masih hidup, baginda menjelaskan mengenai sesetengah ibadah dalam Islam menggunakan bulan-bulan tersebut. Ibadah puasa contohnya dilakukan dalam Ramadan dan ibadah haji dilakukan dalam Zulhijah.

Firman Allah SWT bermaksud:  "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi di antaranya empat bulan yang dihormati…"  (Surah at-Taubah, ayat 36)

Saidina Umar adalah orang yang dikenal pasti menggunakan semua dua belas bulan ini dalam menentukan takwim Hijri kerana masyarakat Arab sebelumnya tidak mempunyai kiraan tahun yang sistematik. 

Nama bulan hijrah yang digunakan sekarang sebenarnya diambil daripada nama bulan yang digunakan orang Arab sebelum kedatangan Islam lagi. Cumanya masyarakat Arab tidak mempunyai perkiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun Masihi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan