Ahad, 24 September 2023

SEJARAH PEMBINAAN JALAN RAYA TIMUR BARAT

 
Jalan Raya Timur Barat (lebih dikenali Lebuh Raya Timur Barat) merupakan laluan penting menghubungkan kawasan utara Semenanjung dengan Pantai Timur. Sebelum adanya jalan raya ini, mereka dari Pantai Timur, khususnya kelantan yang ingin ke Kedah atau utara Semenanjung perlu melalui atau memasuki negara Thailand. Jika tidak mahu melalui Thailand, kenalah terlebih dahulu “turun” ke Kuala Lumpur dan kemudian “naik” ke utara.
 
Jalan Raya Timur Barat fasa satu adalah satu laluan jalan 2 lorong yang dibina pada tahun 1970 dan dibuka secara rasmi pada tahun 1982. Kos asal pembinaan adalah sekitar RM85 juta telah meningkat kepada RM205 juta akibat disabotaj oleh pihak komunis sewaktu pembinaan.
 
Pembinaan jalan ini dibuat oleh pihak Jabatan Kerja Raya Malaysia bertujuan memendekkan perjalanan dari Kota Bharu ke Alor Star yang sebelum ini mencecah sejauh 1000 kilometer, membangunkan kawasan terpencil serta memotong laluan perjalanan komunis ke selatan Thailand. 
 
Laluan fasa pertama menghubungkan pekan Gerik di Perak dengan Jeli di Kelantan dengan jarak 123 kilometer.
 
Pembinaan jalan raya ini termaktub dalam Program Keselamatan Pembangunan (KESBAN) iaitu satu usaha khusus kerajaan membangunkan kawasan luar bandar dalam usaha memerangi kegiatan pengganas komunis
 
Jalan ini merentasi Banjaran Bintang dan juga Banjaran Titiwangsa dan pendakian ini akan ke sampai ke aras tertinggi iaitu sekitar 1100 meter daripada aras laut.
 
Terdapat lima jambatan yang dibina dari Gerik ke Jeli iaitu Jambatan Sungai Rui sepanjang 256 meter, Jambatan Temenggor Barat (880 meter), Jambatan Temenggor Timur (640 meter), Jambatan Sungai Pergau Atas (159 meter) dan Jambatan Pergau Bawah sepanjang 158 meter.  
 
Jalan Raya Timur Barat melalui sebuah tasik buatan hasil pembinaan Empangan Hidroelektrik Temenggor. Akibat peningkatan paras air yang asalnya kawasan tersebut hanya sungai, kemudian bertukar menjadi tasik, maka terbentuklah pulau yang kini dikenali Pulau Banding.
 
Ketika proses pembinaan, ia dilakukan secara serentak dari kedua dua tempat iaitu dari Jeli dan juga Gerik. Kem utama telah diwujudkan di kedua dua tempat bagi menempatkan pekerja Jabatan Kerja Raya dan juga unit tentera yang akan mengawal jalan ini ketika dibina bagi setiap kilometer.
 
Terdapat 5 batalion infantri kerahan Askar Wataniah (AW) yang diwujudkan bagi mengawal laluan ini ketika dibina iaitu Batalion 301 AW, Batalion 302 (AW), Batalion 303 (AW), Batalion 304 (AW) dan Batalion 305 (AW). 
 
Pada 21 Mei 1974, satu serangan pengganas komunis telah merosakkan 63 unit jentera berat dan pada 27 Ogos 1974, seramai 3 orang petugas JKR telah terbunuh semasa bekerja. 
 
Seramai 116 pahlawan dari unit keselamatan telah gugur antara tahun 1968 -1989 semasa pembinaan jalan raya ini dijalankan.
 
Jalan ini dibuka secara rasmi pada 1 Julai 1982 dan hanya boleh dilalui pada waktu siang sahaja dengan iringan anggota tentera dan orang awam dilarang sama sekali menggunakan jalan ini pada waktu malam.
 
Sekatan ini telah dimansuhkan pada tahun 1989 selepas perjanjian damai ditandatangani di Haatyai.
 
Fasa kedua laluan ini melibatkan sambungan dari pekan Gerik, Perak ke pekan Kulim di Kedah dimulakan pada tahun 1993 dan seterusnya menyambungkan laluan ini melalui Butterworth-Kulim Expressway.
 
Jalan Kulim – Baling telah dimulakan pembinaan terlebih dahulu, diikuti dengan laluan menyambungkan pekan Titi Karangan ke Gerik.
 
Secara amnya, jalan ini boleh menyambungkan Kampung Tok Kamis di Pasir Putih Kelantan dengan Seberang Jaya Pulau Pinang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan