Sabtu, 14 September 2024

LIRIK LAGU PATRIOTIK DARAH SATRIA

 
Lagu Darah Satria adalah lagu tema bagi filem Darah Satria arahan Aziz Satar terbitan tahun 1983. Lagu ini malar segar yang sentiasa dinyanyikan sebagai lagu patriotik.
 
Pada tahun 2024, lagu ini popular kembali apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan secara berulang-ulang sebagai lagu selingan. Bahkan lagu ini turut menjadi lagu “wajib” dalam kursus anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).
 
LIRIK DARAH SATRIA
 
Lautan luas banjaran gunung
Rezeki nan melimpah
Bawah langitnya kami bernaung
Rasa kasih tercurah

Tanah airku bumi bertuah
Tiada bandingannya
Rela bersatu gading tenaga
Mendaulatkan negara

Dengan sepenuh keazaman
Semangatmu nan waja
Keranamu rela berkorban
Engkaulah pertiwi yang tercinta

Darah satria darah satria
Berkobar di dada
Tinggalkan ibu tinggalkan ayah
Serta sanak saudara
Membuktikan kesetiaan kita pada bumi Malaysia



 
Sinopsis filem Darah Satria
 
Ariff merupakan seorang pegawai berpangkat Leftenan Muda dalam pasukan infantri Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Beliau menjadi ketua platun di salah satu batalion Rejimen Askar Melayu Diraja.
 
Ketika itu negara masih berada dalam keadaan ancaman komunis. Justeru Arif sering terlibat dalam operasi memburu pengganas komunis di hutan belantara.
 
Dalam kesibukan itu dia sempat berumah tangga bersama rakan sekampung iaitu Rafidah. Namun, isterinya ditinggalkan di kampung bersama ibu bapanya kerana dia jarang dapat berada di rumah.
 
Ariff ada dua orang anak buah di dalam platunnya iaitu Badol dan Iskandar yang asyik dibuai keseronokan hiburan di luar kem hingga menjejaskan disiplin mereka.
 
Atas kecemerlangannya dalam menjalankan tugas, dia dinaikkan pangkat ke Leftenan. Ketika pulang ke kampung menemui isteri dan keluarga, dia telah dihubungi markas batalion untuk mengetuai platun dalan satu operasi penting.
 
Dalam operasi tersebut, platunnya telah bertempur dengan pengganas komunis. Dalam pertempuran itu Iskandar telah terkorban. Badol yang berang atas kehilangan kawan karibnya mula membara semangatnya untuk menghapuskan pengganas komunis itu.
 
Satu jerangkap samar berjaya dikesan, tetapi kecuaian Badol menyebabkan dia terpijak jerangkap sama itu. Leftenan Ariff cuba menyelamatkan Badul, tetapi dia turut cedera parah.
 
Ariff dan Badul berjaya diselamatkan. Badul mengalami kecederaan ringan, namun malangnya Leftenan Ariff mengalami kecacatan kekal akibat peristiwa itu.
 
Pelakon
- Aman Shah sebagai Leftenan Ariff
- A R Badul sebagai Prebet Badol
- Lydiawati sebagai Rafidah, isteri Leftenan Ariff
- A Galak sebagai Sarjan Razak
- Tawail sebagai Koperal Tawil
- Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein sebagai Lt. Kol Md Hashim "Jack" Hussein
- Baharuddin Omar sebagai Haji Abas, Bapa Mertua Ariff
- Mahmud Jun  sebagai Bapa Ariff
- Noruizan sebagai Ibu Ariff
- M Rojadi sebagai Leftenan Latiff (TLDM), abang kepada Leftenan Ariff & pegawai TLDM
- Nora Samsuddin sebagai isteri Leftenan Latiff (TLDM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan