Rabu, 9 April 2025

EMPANGAN BUKIT KWONG

 
Empangan Bukit Kwong, Kelantan terletak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand. Empangan yang juga dikenali Padang Bukit ini terletak di Lubok Setol, kira-kira 8.5 kilometer dari pekan Rantau Panjang.
 
Kawasan tadahannya adalah lebih kurang 11 kilometer persegi yang disalirkan oleh Sg. Tandak Liang yang mengalir ke dalam Sungai Golok, sungai utama dalam lembangan Sungai Golok.
 
Empangan terdiri daripada satu benteng timbusan tanah homogen, satu alur limpah tidak berpintu berabung lebar separa bulat jatuh tegak dan satu struktur pengambilan pintu skru gelongsor tegak. 

Pembinaan empangan ini bermula pada bulan September 1976 dan siap pada bulan Julai 1979.
 
Empangan ini adalah merupakan sumber air bagi kawasan pertanian sawah padi iaitu menyalirkan air ke Kampung Telaga Mas, Kampung Kok Pauh dan sehingga tamat di kawasan Kampung Parit Air, Rantau Panjang. Air dari empangan ini disalirkan menggunakan tali air.
 
Kawasan di sekitar empangan ini juga sesuai untuk dijadikan sebagai kawasan tarikan pelancong dengan mempunyai daya tarikan yang tersendiri iaitu tasik dan bukit bukau yang menarik.
 
Empangan Bukit Kwong bukan sekadar empangan biasa tetapi keindahan landskapnya, kehijauan flora, serta suasana yang tenang menjadikannya lokasi yang sangat berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi rekreasi, sukan air, perkhemahan, serta aktiviti pendakian.
 
Lebih menarik, dari puncak Bukit Kwong, pengunjung dapat menikmati pemandangan luas seluruh Rantau Panjang hingga ke Selatan Thailand—suatu keunikan yang mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
 
Dengan perancangan yang tersusun dan kerjasama semua pihak, kawasan ini bukan sahaja mampu menarik pelancong tetapi juga berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu kepada penduduk setempat. Kerajaan negeri komited untuk terus meneroka dan membangunkan destinasi pelancongan baharu yang dapat memberi manfaat kepada rakyat.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan