Ahad, 18 Disember 2016

ILMU MANTIK BANTU BUAT KEPUTUSAN


Ilmu mantik atau logik iaitu suatu ilmu yang membahaskan tentang pemikiran dan apa yang tergambar dalam akal pemikiran manusia supaya diterjemahkan menjadi teori yang benar dan mengelak dari berfikir yang salah.  

Ilmu mantik sering disebut ibu segala ilmu atau dikatakan ilmu dari segala yang benar.

Dengan tuntasnya, mantik diibaratkan suatu yang membicarakan tentang kaedah-kaedah yang dapat memandu manusia ketika berfikir dan mereka melahirkan pemikiran bersesuaian dengan ucapan serta dapat menapis maklumat-maklumat yang diterima sama ada sah atau tidak sah.

Di antara manfaat ilmu Mantiq ialah membuat daya pemikiran seseorang lebih tajam tetapi lebih berkesan melalui latihan-latihan berfikir dan menganalisis serta mengungkap permasalahan secara ilmiah. 

Membuat seseorang menjadi mampu meletakkan sesuatu pada tempatnya dan mengerjakan sesuatu pada waktunya.  Ilmu mantik juga membuat seseorang mampu membezakan antara yang baik dan buruk.

Dengan mempelajari ilmu mantik juga menjadikan seseorang bijak berfikir dan mempunyai hujah tersendiri untuk berdebat serta membidas kata-kata yang tidak masuk akal dan tidak mudah diperbodoh-bodohkan atau diperkotak-katikkan oleh individu lain sekiranya pada dirinya mempunyai ilmu mantik.

Ilmu mantik menekankan penggunaan akal logik iaitu manusia menggunakannya untuk mencari petunjuk serta kebenaran seterusnya memilih mana yang baik untuk diikuti serta menjauhi dan meninggalkan perkara buruk.

Walaupun manusia mempunyai akal dan sentiasa menggunakannya, sama ada dalam menjalani urusan kehidupan atau untuk mencari kebenaran, namun tidak semestinya hasil pemikiran mereka menepati tujuan sebenar serta mencapai matlamat yang dimaksudkan dan diinginkan.

Sebagai contoh, apabila melihat awan tebal yang hitam di langit, manusia memikirkan dan menjangkakan hujan akan turun tidak lama lagi.  


Namun, tanggapan akal semata-mata berdasarkan faktor awan hitam yang tebal tidak semestinya dapat menghasilkan keputusan yang benar dan tepat. 

Kadang-kadang hujan tidak turun walaupun pada kebiasaannya awan tebal yang menandakan atau menyebabkan hujan turun.

Maka, kita perlu memahami lojik itu berdasarkan kepada pengalaman lalu, mahupun berdasarkan kepada kajian sainstifik berkaitannya.  Atas sebab itu, peribahasa kita ada menyebut, kalau mendengar guruh di langit, air di tempayang jangan dicurahkan. 

Nenek moyang kita menggunakan kiasan yang mendalam biarpun perkara lain ingin dinyatakan, tetapi apa yang dinyatakan itu ada kebenarannya kerana mereka pemerhati yang akrab dengan alam.

Ilmu mantik membantu kita mengenal pasti perkara benar atau tidak berdasarkan kepada bukti atau fakta sebelumnya.  

Umpamanya, untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran, telah ada panduan atau pengalaman pelajar sebelumnya. 

Pakar pendidikan dan guru juga ada menasihatkan bagaimana hendak berjaya.  Tentunya turut dijelaskan tentang bagaimana sikap dan amalan buruk dilakukan pelajar yang gagal dalam pelajaran.

Justeru, pelajar boleh menjadikan panduan bagaimana hendak berjaya dan mengelak perbuatan yang boleh menyebabkan kegagalan.  

Sebenarnya tidak sukar untuk menganalisa dan mengambil keputusan berkaitan perkara yang jelas dan telah berulang-ulang buktinya. 

Bagaimanapun masih ada yang tidak mahu melakukan perkara yang sepatutnya untuk berjaya. Itu bukan berkaitan ketidakupayaan untuk mengambil keputusan tepat, tetapi lebih kepada sikap buruk yang telah lama tertanam dalam diri seperti malas, tiada keyakinan diri, tidak kisah mengenai masa depan dan sebagainya.

Begitu juga dalam tindakan mendatangkan keburukan seperti pengambilan dadah dan merokok.  

Pelakunya bukan tidak tahu kesan buruk tindakan itu, namun mereka gagal membuat keputusan untuk menjauhkan perbuatan itu.

Kegagalan membuat keputusan tepat biasanya dikaitkan dengan tiada kekuatan fikiran untuk mengatakan tidak kepada punca bermula atau berterusan amalan itu.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan