Rabu, 2 Mac 2022

BANJIR BESAR BERPUNCA PEMBINAAN BENTENG?

 
Kebiasaan berlaku banjir di Kelantan pada November dan Disember setiap tahun. Kalaupun ‘lajak’ musim banjir berlaku pada awal bulan Januari. Namun, tahun ini dianggap luar biasa disebabkan ia berlaku pada akhir Febuari dan awal Mac.

Tempat paling terkesan banjir kali ini ialah di kawasan berhampiran tebing Sungai Golak. Banyak tempat yang sebelum ini hanya berlaku banjir kecil, bertukar menjadi igauan mimpi buruk kepada penduduk.

Apa tidaknya, kawasan rumah yang biasa dipenuhi air bah sekadar setakat semeter, kali ini tragedi yang melanda di luar jangkaan sehingga menyebabkan rumah roboh dan dihanyutkan air. Dilaporkan sekurang-kurangnya enam buah rumah musnah sepenuhnya.

Paras air tinggi sehingga melebihi lima meter dan aliran amat laju sehingga menghanyutkan rumah yang sudah berusia puluhan tahun. Ini membuktikan, sebelum ini kawasan tersebut tidak mengalami banjir seteruk tahun ini.

Maka timbul persoalan, mengapa keadaan itu berlaku. Di kalangan penduduk kampung yang sudah tinggal puluhan tahun dan mengalami banjir setiap tahun mengatakan punca berlaku banjir besar di Kampung Terusan dan beberapa kampung lain adalah berpunca pembinaan tembok tebatan banjir yang giat dijalankan sekarang.

Projek pembinaan tembok yang melibatkan tiga fasa masih berjalan. Dengan kata lain belum siap sepenuhnya. Apabila ia tidak siap sepenuhnya, bermakna ia masih belum dapat berfungsi seperti diharapkan, untuk menghalang limpahan air berlaku di tempat yang mana ia belum siap.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata banjir di Thailand yang membabitkan lima wilayah besar menyebabkan airnya mengalir ke Sungai Golok.

"Yang mengatakan banjir teruk berlaku kali ini adalah disebabkan kerja-kerja pembinaan benteng (Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu bagi Sungai Golok (Kesban) itu tidak betul.

"Benteng itu sebenarnya berjaya mengurangkan impak, kalau ia tidak ada, mungkin akan berlaku (banjir) dengan lebih teruk.

"Sekarang banjir berlaku disebabkan limpahan Sungai Golok, ia disahkan apabila lima wilayah di Thailand banjir teruk," katanya seperti yang dilaporkan media.

Tuan Ibrahim berkata projek Kesban yang membabitkan tiga fasa mampu meminimumkan impak banjir terutama di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat pada masa akan datang.

"Fasa satu projek iaitu tembok untuk menghalang air dari Sungai Golok dijangka siap dalam tempoh terdekat manakala bagi fasa dua, kerajaan telah meluluskan peruntukan membabitkan RM265 juta untuk pembinaan tembok banjir," katanya.

Banyak pihak yang menyanggah kenyataan Tuan Ibrahim, terutama di kalangan penduduk terlibat. Ya, tujuan dan peranan benteng untuk mengelak berlaku limpahan air dari Sungai Golok.

Namun, sekarang ini projek itu belum siap sepenuh. Maka, akuilah bahawa banjir besar yang melanda, khususnya di Kampung Terusan adalah berpunca proses pembinaan benteng.

Tidak sukarpun untuk mengakui perkara tersebut. Itu adalah hakikat yang turut diakui agensi yang mengurus pembinaan benteng itu.

Rakyat tidak menolak pembinaan benteng tebatan banjir itu, bahkan ia sudah lama diimpikan oleh penduduk. Ia diakui perlu dan amat penting untuk menghalang berlaku limpahan air dari Sungai Golok setiap kali berlaku peningkatan paras air.

Rumusannya, kenyataan penduduk lebih tepat berbanding dengan menteri yang sekadar mengeluarkan kenyataan tanpa mengalami sendiri suasana di tempat berlaku banjir.

Rumusan lain ialah, kerja-kerja pembinaan benteng itu perlu segera disiapkan. Lengkapkan keseluruhan projek. Selagi ia tidak disiapkan, maka selagi itu masalah banjir akan berlaku tahun demi tahun.

Jangan salahkan rakyat yang menyalahkan banjir berpunca dari pembinaan benteng.... benteng yang belum siap dan tidak berfungsi seperti sepatutnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan