Ahad, 11 April 2021

Tulen atau tidak rakaman audio, ahli telah buat keputusan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan berhubung rakaman audio perbualan didakwa mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tersebar baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Polis membuka kertas siasatan susulan lapan laporan polis yang diterima berhubung perkara itu setakat 9 April.

Menurut Acryl, polis akan menghantar rakaman audio itu ke Makmal Forensik bagi tujuan analisis perbandingan persamaan suara dalam rakaman audio berkenaan.

Sama ada tulen atau tidak, rata-rata ahli akar umbi telah membuat keputusan. Mereka tidak peduli tentang perkara itu. Tiada bukti bahawa perbualan itu menyebut mengenai kerjasama UMNO dengan PKR pada PRU15 nanti.

Umum mengetahui bahawa UMNO telah memutuskan tidak akan berkerjasama dengan PKR, DAP dan PPBM pada PRU15 nanti.

Dan, Ahmad Zahid secara terbuka pernah menyebut mengenai jajaran atau kerjasama politik hanya akan dilakukan selepas PRU15 tanpa menyebut dengan parti mana asalkan ia memberi kebaikan dan keuntungan kepada UMNO.

Kenyataan Ahmad Zahid itu tidak menjadi polimik atau dibantah oleh ahli akar umbi.  

Jajaran politik selepas PRU15 itu mungkin melibatkan PPBM. Jadi, kepada yang proPPBM, tunggulah lepas PRU15 nanti. Sekarang ini masa untuk merapatkan saf dan memperkuatkan parti sendiri, bukan untuk memperkuatkan kedudukan parti lain, lebih-lebih lagi yang selama ini berusaha untuk menghancurkan UMNO. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan