Khamis, 29 Disember 2022

SEJARAH KAMPUNG TANJONG DAERAH TAWANG

 
Mukim Tanjong adalah salah satu daripada 10 mukim yang terletak dalam Daerah (sama status mukim di luar Kelantan) Tawang.
 
Mukim Tanjong ditadbir oleh seorang penghulu (sama taraf dengan ketua kampung).
 
Bagaimanapun, untuk tujuan pentadbiran urusan agama Islam, Mukim Tanjong dipecahkan dua iaitu Mukim Tanjong dan Mukim Takang yang masing-masing ditadbir oleh imam tua. Dengan kata lain ada dua masjid yang dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat.
 
Tidak pasti asal nama Kampung Tanjong sama ada kerana kedudukan di tanjung atau bunga tanjung, dan mungkin juga maksud lain ‘tanjung’.
 
Namun, besar kemungkinan ia adalah berdasarkan kepada kedudukan iaitu jauh dari penempatan lain yang berbentuk ‘tanjung’.
 
Pada sekitar tahun 1960-an, laluan untuk ke Kampung Tanjung adalah melalui tepi bendang dan batas tali air. Kawasan bendang di Kampung Tanjung luas saujana memandang sehingga ke Kampung Beris dan beberapa kampung lain. Kedudukan itu menjadikan Kampung Tanjung berada di tanjung.
 
Dengan kata lain, bahagian depan rumah atau tangga utama rumah di Kampung Tanjong menghadap ke arah bendang atau sawah.
 
Bagaimanapun, sekitar tahun 1970-an, satu jalan raya yang menghubungkan Kampung Budi ke Kampung Jejuluk dibina yang kedudukannya jauh sedikit dari kawasan bendang. Ini menyebabkan ada rumah yang bertukar kedudukan bahagian tangga hadapan utama.
 
Bahagian dahulunya dapur diubah menjadi tangga utama, dan tangga utama pula menjadi tangga dapur. Namun, ada juga rumah yang kekal dalam bentuk asal, bezanya hanya kedudukan laluan.
 
Kedudukan jalan raya itu adalah selari dengan Sungai Kemasin yang mengalir dari Kampung Teluk Masira ke Kampung Takang dan seterusnya ke Kampung Beris Kubur Besar sebelum terus mengalir melalui Kampung Pengkalan Petah dan terus mengalir ke Laut China Selatan melalui Kuala Kemasin. 

3 ulasan: