Selasa, 17 Disember 2019

KERJA GOTONG-ROYONG TIDAK MENDAPAT SAMBUTAN


Kerja gotong-royong bermaksud melakukan sesuatu kerja secara bersama-sama tanpa dibayar upah. Amalan kerja gotong-royong menjadi teras kepada kekuatan masyarakat pada masa dahulu.

Pada masa dahulu kerja-kerja pertanian, membersihkan kawasan, membuat rumah, kenduri kendara dan sebagainya dilakukan secara gotong-royong.

Aktiviti gotong-royong mendatangkan banyak kebaikan kepada masyarakat antaranya adalah amalan gotong-royong mewujudkan dan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama penduduk.

Bak kata perpatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” dan “bagai aur dengan tebing” itulah kata-kata yang boleh mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan rakyat.

Namun, amalan gotong-royong semakin lenyap dan dilupakan. Kerja-kerja yang dahulunya dilakukan secara gotong-royong kini dilakukan oleh pekerja yang diupah atau dibayar gaji.

Jika adapun pihak ingin menghidupkan atau menganjur kerja gotong-royong, penglibatan agak terhad kepada pihak penganjur sahaja. Penduduk di sekitar tempat kerja gotong-royong tidak turut serta dan menganggap itu tidak melibatkan mereka biarpun hasil kerja itu memberi kebaikan kepada mereka.

Pihak jabatan, swasta, NGO mahupun mahasiswa sering mengadakan kerja-kerja gogong-royong di kampung atau tempat terpilih sebagai satu usaha membatu dan menghidupkan kembali amalan yang menjadi sendi dalam masyarakat dahulu, tetapi malangnya sambutan daripada penduduk setempat tidak baik.

Maka, jadilah kerja gotong-royong itu sekadar melibatkan pihak penganjur sahaja. Keadaan itu bukan sahaja menggagalkan maksud kerja gotong-royong itu, tetapi mematahkan semangat dan keikhlasan pihak penganjur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan